Tuesday, October 15, 2013

Hormati Keputusan Mahkamah Dan Hak Rayuan Responden - Peguam

Zainul Rijal...responden ada masa 30 hari untuk merayu. 
Wakil peguam bagi tujuh Majlis Agama Negeri yang rayuannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam 'The Herald' diluluskan oleh Mahkamah Rayuan semalam, meminta semua pihak menghormati keputusan mahkamah dan hak responden membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

Peguam Datuk Zainul Rijal Abu Bakar yang mewakili Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu berkata responden mempunyai tempoh 30 hari bermula semalam untuk memfailkan rayuan terhadap keputusan panel tiga hakim diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali. 

"Pihak responden perlu mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan terlebih dahulu, sebelum rayuan mereka boleh didengar," jelas Zainul kepada kira-kira 300 wakil badan bukan kerajaan, parti politik dan orang ramai yang berkumpul di hadapan Istana Kehakiman sejak awal pagi semalam.

Ketiga-tiga hakim, Mohamed Apandi, Datuk Mohd Zawawi Salleh dan Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim sebulat suara melarang The Herald, penerbitan mingguan Katolik, menggunakan kalimah Allah. Mereka juga membenarkan rayuan kerajaan serta sembilan perayu lain untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009 yang membenarkan penerbitan itu menggunakan kalimah 'Allah' sebagai merujuk kepada 'Tuhan'.

Sementara itu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdullah yang mewakili Persatuan Cina Muslim Malaysia berkata pihaknya perlu meneliti terlebih dahulu semua penghakiman berasingan yang dibuat ketiga-tiga hakim berkenaan.

"Kita perlu menghormati hak peguam yang mewakili responden untuk merayu dan sementara itu, pihak kami pula bersedia sekiranya rayuan seterusnya sampai di Mahkamah Persekutuan nanti," katanya.

Sementara itu, bekas Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa berkata keputusan Mahkamah Rayuan itu harus dihormati semua pihak.

Ini kerana secara asasnya, perkataan Allah bukan menjadi fundamental dalam pengajaran Kristian, katanya. 

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali pula berkata isu kalimah Allah telah dipolitikkan hingga menampakkan seolah-olah umat Islam negara ini bermusuh dengan penganut Kristian.

"Kita tidak pernah bermusuh dengan agama lain...Perlembagaan dan undang-undang syariah jelas menyatakan kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh mana-mana agama selain Islam," katanya.

Sementara itu, dalam respons segera pengarang Herald Father Lawrence Andrew memberitahu pemberita peguamnya akan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

Peguam utama responden Porres Roran dan S. Selvarajah berkata mereka perlu meneliti ketiga-tiga penghakiman bertulis itu sama ada keputusan hari ini terpakai kepada semua penganut Kristian.

Sementara itu, Setiausaha Agung Majlis Gereja Malaysia Hermen Shastri berkata: "Kita tidak perlu bertelagah berhubung penggunaan perkataan Allah".

No comments:

Post a Comment