Friday, October 18, 2013

12 Peratus Kematian Di Hospital Kerajaan Akibat Kanser, Kata Dr Subramaniam

Sebanyak 12 peratus kematian dilaporkan di hospital kerajaan setiap tahun akibat kanser yang merupakan satu daripada lima punca utama kematian di Malaysia.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata pada tahun lalu sahaja, kerajaan membelanjakan RM100 juta untuk membeli ubat-ubatan bagi merawat pesakit kanser di hospital kerajaan.

Katanya,  walaupun kerajaan berbelanja berjuta-juta ringgit bagi menyediakan pelbagai kemudahan termasuk pusat rawatan terbaik untuk merawati penyakit itu, namun kesedaran orang ramai lebih penting bagi mencegah atau mengesan penyakit itu lebih awal.

"Kita ada sistem perkhidmatan dan kemudahan di hospital kerajaan atau swasta. Kita harap rakyat Malaysia mempunyai kesedaran yang tinggi dan pastikan menjalani pemeriksaan saringan bagi mengesan penyakit ini di peringkat awal," katanya dalam sidang media semalam.

Beliau berkata kanser payu dara, paru-paru, kolorektal, hidung, limfoma, serviks dan prostat terus menjadi kebimbangan rakyat di negara ini.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya tidak melepaskan peluang menghadiri saringan percuma, kempen dan forum mengenai penyakit kanser yang dijalankan di seluruh negara sempena Bulan Kesedaran Kanser pada Oktober ini.

Menurut laporan Kementerian Kesihatan baru-baru ini, 40,000 kes baharu kanser dikesan setiap tahun. Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kanser menjadi punca kematian lebih enam juta lelaki dan wanita pada tahun 2000 manakala lebih 10 juta kes baharu penyakit kanser dikesan setiap tahun di seluruh dunia.

No comments:

Post a Comment