Friday, October 18, 2013

Jualan Kenderaan Motor Sept Naik Kepada 54,945 Unit

Jualan kenderaan penumpang dan perdagangan pada September meningkat kepada 54,945 unit daripada 45,925 unit yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun lepas, kata Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

Ia berkata segmen kenderaan penumpang mencatatkan jualan tinggi sebanyak 48,411 unit semasa bulan tersebut berbanding 40,235 unit yang dicatatkan dalam bulan yang sama tahun lepas.

Jualan kenderaan perdagangan naik kepada 6,534 unit pada September daripada 5,690 unit dalam tempoh yang sama pada 2012, kata MAA dalam satu kenyataan.

Berbanding dengan Ogos, kuantiti jualan kedua-dua kenderaan penumpang dan perdagangan pada September naik lapan peratus kepada 3,839 unit.

Sementara itu, MAA berkata sehingga September 2013 jualan keseluruhan kenderaan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 29,499 unit, atau enam peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas. Ia berkata kenaikan itu adalah disebabkan keadaan pasaran yang kembali normal dan disumbang oleh pelancaran model-model baharu.

Mengenai pengeluaran, MAA berkata pengeluaran kenderaan penumpang bulan lepas meningkat kepada 48,932 unit, daripada 45,138 unit tahun ke tahun, manakala pengeluaran kenderaan perdagangan naik kepada 5,085 unit daripada 4,958 unit sebelumnya.

Ia berkata jumlah pengeluaran bagi kedua-dua segmen meningkat kepada 54,017 unit daripada 50,096 unit yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun lepas.

Mengenai prospek masa depan, MAA berkata, kuantiti jualan bagi Oktober dijangka tinggi berbanding September disebabkan promosi dan kempen akhir tahun.

No comments:

Post a Comment