Kaum keluarga jemaah haji di tanah air tidak perlu bimbang mengenai keadaan dan keselamatan jemaah haji Malaysia di tanah suci ekoran laporan hujan ribut di Arafah petang semalam.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH) Datuk Paduka Ismee Ismail berkata, cuaca seumpama itu satu keadaan yang biasa di sini setiap kali berlakunya perubahan suhu menjelang musim haji.
Beliau berkata, sememangnya telah berlaku banjir kilat semalam dan ia bersifat sementara malah telah reda dalam masa beberapa jam kemudian.
"Kami yakin pihak Muasassah yang berpengalaman luas dan arif dalam bidang ini akan dapat menangani situasi yang biasa mereka hadapi dengan baik. TH juga yakin segala persiapan dan kelengkapan operasi Masyair berjalan lancar seperti
yang dirancang untuk menyambut jemaah yang akan menjalankan ibadah wukuf pada Isnin ini," katanya pada sidang media di Makkah semalam.
Katanya hanya kira-kira 30 peratus khemah jemaah Malaysia yang sudah dipasang di Arafah terjejas akibat hujan ribut pada pukul 3.30 petang waktu tempatan semalam.
"Kejadian itu tidak akan menjejaskan persiapan yang dibuat oleh Kerajaan Arab Saudi khususnya oleh pihak Muasassah Asia Tenggara untuk membaik pulih semula khemah-khemah serta peralatan lain yang dijangka dapat dipasang dan digunakan semula sepenuhnya sebelum tiba hari wukuf," katanya.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata hujan ribut di Arafah petang semalam yang mengakibatkan beberapa buah khemah untuk jemaah Malaysia runtuh tidak menjejaskan persiapan Tabung Haji (TH) untuk menguruskan jemaah menunaikan wukuf empat hari lagi.
Menteri berkenaan berkata, khemah-khemah yang runtuh itu adalah yang belum siap dipasang dan belum diikat.
Katanya cuaca hujan dan banjir kilat menjelang musim haji adalah kes biasa dan pengurusan TH bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
"Menjelang musim haji, kedua-dua masjid iaitu Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi akan mengadakan solat hajat dan berdoa memohon hujan dan hujan menjelang musim haji adalah perkara biasa berdasarkan pengalaman-pengalaman lepas...
Insya-Allah kita akan gunakan pengalaman lepas untuk meningkatkan persiapan kita," katanya kepada pemberita.
Beliau juga menafikan dakwaan pihak tertentu kononnya kerajaan Arab Saudi telah menghalang jemaah haji memasuki Tanah Suci ekoran cuaca buruk dan banjir di Arafah.
Jamil Khir berkata, semua jemaah haji Malaysia telahpun memasuki Makkah dan tiada seorangpun jemaah yang datang menerusi TH menghadapi sebarang masalah
"Ada berita yang saya dengar ialah terdapat jemaah dari syarikat atau ejen swasta yang tidak diiktiraf dan tidak berdaftar dengan Tabung Haji kini menghadapi masalah visa haji dan mereka tersangkut di lapangan terbang di ibu negara," katanya.
Sementara itu, TH dalam kenyataan akhbarnya berkata dakwaan kononnya Terminal Haji di Lapangan Terbang King Abdul Aziz di Jeddah ditutup ekoran cuaca buruk adalah tidak benar.
"Terminal Haji itu ditutup semalam adalah kerana tiada lagi penerbangan haji yang akan mendarat mengikut jadual dan visa haji yang dibenarkan oleh kerajaan Arab Saudi," menurut kenyataan itu.
Kesemua khemah yang mengalami kerosakan telah dibaiki hari ini (semalam) dan cuaca dilaporkan kembali panas hari ini sekali gus akan mengeringkan khemah-khemah yang basah.
Jemaah haji akan memulakan ibadah haji dengan wukuf di Arafah pada 14 Oktober ini.
No comments:
Post a Comment