Friday, October 11, 2013
Rahman Dituntut Rampas Sekurang-Kurangnya Satu Piala
Satu trofi pun cukup! Itulah tuntutan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) ke atas Abdul Rahman Ibrahim yang dilantik bagi membimbing skuad Penyu bagi menghadapi kancah Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.
“Kita percaya keputusan melantik Abdul Rahman sebagai ketua jurulatih adalah yang terbaik buat Terengganu dan yakin dia mampu membentuk pasukan negeri ini antara pencabar digeruni dalam Liga-M musim depan.
“Kita juga tidak meletakkan sasaran tinggi kepada Abdul Rahman, tetapi harapan kita dia mampu membantu kita membawa pulang sekurang-kurangnya satu piala ke negeri ini,” kata Presiden PBSNT, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid.
Bercakap selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Abdul Rahman di Pejabat PBSNT di Wisma Seri Amar semalam, Wan Ahmad Nizam berkata, ketua jurulatih itu akan memulakan tugas membimbing pasukan pada 4 November ini sebagai persiapan awal untuk musim depan.
Katanya, pihaknya optimis pengalaman yang ada pada Abdul Rahman yang akan tamat kontrak dengan PKNS 30 Oktober ini mampu menjadikan Terengganu pasukan digeruni musim depan dan kepulangannya ke pangkuan pasukan ibarat ‘sirih pulang ke gagang’.
Ditanya mengenai pemain import dari Croatia, Wan Ahmad Nizam berkata, empat pemain dari negara itu dijangka tiba di negeri ini pada 15 November depan bagi menjalani sesi pemilihan di bawah kendalian Abdul Rahman.
No comments:
Post a Comment