Tuesday, October 15, 2013

Kerajaan Menang Rayuan, Herald Dilarang Guna Kalimah Allah


The Herald, penerbitan mingguan Katolik Malaysia dilarang daripada menggunakan kalimah Allah untuk merujuk kepada Tuhan.

Ini berikutan Mahkamah Rayuan membuat keputusan sebulat suara di sini Isnin untuk membenarkan rayuan kerajaan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009 yang membenarkan penerbitan itu menggunakan kalimah "Allah" dalam penerbitan.

Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali yang mempengerusikan panel tiga anggota hakim berkata ia merupakan dapatan umum mahkamah bahawa kalimah "Allah" tidak pernah menjadi bahagian penting daripada amalan kepercayaan agama Kristian.


Beliau berkata dengan mengambil kira fakta sejarah dan agama, beliau tidak dapat menemui sebarang sebab munasabah kenapa responden ( Titular Roman Catholic Archbishp of Kuala Lumpur) "berkeras" untuk menggunakan kalimah "Allah" dalam penerbitan buletin mingguan mereka.

"Untuk memulakannya, pengiktirafan sewajarnya perlu diberikan kepada nama-nama yang diberikan Tuhan masing-masing dalam buku suci masing-masing seperti "Yahweh" Tuhan Kitab Bible; "Allah" bagi kitab suci Al-Quran dan "Vishnu" bagi kita suci Vedas," katanya dalam penghakiman setebal 40 halaman.

"Ia adalah munasabah untuk membuat kesimpulan bahawa penggunaan yang dicadangkan itu akan menyebabkan kekeliruan yang tidak wajar di kalangan masyarakat Islam dan sudah tentu ia tidak kondusif kepada suasana kehidupan yang aman dan harmoni di negara ini.

"Kesimpulan ini diperkuat oleh fakta bahawa majoriti penduduk di negara ini adalah orang Melayu dan beragama Islam," kata Hakim Apandi yang bersidang bersama Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim dan Datuk Mohd Zawawi Salleh.

Beliau berkata daripada kajiannya mengenai sejarah bahasa Bible, adalah jelas bahawa perkataan "Allah" tidak wujud walaupun sekali sebagai nama tuhan atau malah bagi seorang lelaki dalam kitab suci Ibrani. 

"Nama "Allah" tidak muncul walaupun sekali sama ada dalam kitab Perjanjian Lama atau Baharu.

Dalam dunia Bible, "God" sentiasa dikenali sebagai Yahweh," kata Apandi.

Hakim Apandi membaca ringkasan keputusan itu dalam mahkamah terbuka. Mahkamah kemudian mengeluarkan tiga penghakiman bertulis secara berasingan.

Dalam penghakimannya, Hakim Apandi berkata permohonan untuk semakan kehakiman mengenai perkara-perkara yang bersifat seperti dalam rayuan ini menyekat kewujudan bersama semangat keamanan dan keharmonian dengan agama lain di negara ini.

Beliau berkata tujuan memasukkan perkataan "Dalam keamanan dan keharmonian" dalam Artikel 3 (1) Perlembagaan Persekutuan adalah untuk melindungi kesucian Islam sebagai agama negara dan juga melindungi daripada mana-mana ancaman atau kemungkinan ancaman kepada agama Islam.

Beliau berkata berdasarkan fakta-fakta dan keadaan kes itu, penggunaan kalimah "Allah" dalam versi Melayu The Herald, tanpa ragu-ragu, berpotensi mengganggu rentak kehidupan masyarakat Malaysia.


No comments:

Post a Comment