Tuesday, October 15, 2013

UMNO Terengganu Cadang 4 Perkara Licinkan Urusan Pemilihan

Jawatankuasa Pemilihan Umno Terengganu mencadangkan empat perkara bagi melicinkan urusan pemilihan jawatankuasa parti bahagian pada 19 Okt ini.

Pengerusinya, Datuk Muda Mamat berkata ini berikutan berlakunya beberapa insiden di lokasi pemilihan jawatankuasa sayap parti Sabtu sehingga menimbulkan syak wasangka kepada calon yang kemudian meminta proses pengiraan undi dilakukan semula.

"Mungkin terdapat beberapa masalah teknikal menyebabkan ada pengurusan jawatankuasa pemilihan terpaksa memanggil Setiausaha Umno Bahagian, menyebabkan suasana menjadi agak tegang," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, semalam.


Beliau diminta mengulas beberapa insiden yang menyaksikan proses pemilihan di beberapa bahagian kecoh serta lewat menerima keputusan berbanding jangkaan awal.

Muda berkata insiden itu berlaku akibat beberapa faktor, antaranya jumlah kertas undi kurang berbanding jumlah perwakilan, syak wasangka dan ketidakpercayaan calon kepada Jawatankuasa Pemilihan Umno negeri selain petugas yang kurang cekap.

Beliau berkata perkara paling penting ialah mesti tiada campur tangan mana-mana anggota jawatankuasa Umno bahagian kecuali setiausaha kerja ketika proses pemilihan.

"Kedua, calon yang bertanding perlu menghantar wakil yang benar-benar faham dengan proses pemilihan parti agar tiada keraguan dan kesilapan teknikal berlaku disebabkan kurangnya kefahaman wakil mereka. 

"Ketiga, calon perlu yakin dengan kecekapan dan ketelusan pengurusan jawatankuasa pemilihan dan akhirnya perlu reda dengan apa sahaja keputusan yang diterima," katanya.

Proses pemilihan bagi sayap Pemuda di Hulu Terengganu paling lewat selesai iaitu pada 5.30 pagi selepas berlaku pengiraan berulang kali berikutan perbezaan undi yang tipis iaitu 13.

Muda berkata pengiraan berulang kali turut berlaku dalam proses pemilihan sayap Pemuda bahagian Kuala Nerus yang selesai pada 2.30 pagi.

"Pemilihan Wanita bahagian Dungun lewat akibat masalah sama, Besut dan Setiu lancar manakala pemilihan sayap bahagian Marang paling awal selesai, iaitu pada 7 petang," katanya.

No comments:

Post a Comment