Thursday, October 3, 2013

Kerajaan Terengganu Rancang Pembangunan Bandar-bandar Di Seluruh Negeri


Kerajaan Terengganu menyediakan perancangan terperinci dalam membangunkan bandar-bandar utama di semua daerah negeri ini bagi memastikan rancangan pembangunan itu sesuai dengan peredaran masa dan kehendak rakyat.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata hasil pembangunan yang dirancang itu akan dapat dilihat dalam tempoh lima tahun apabila muncul pembangunan bandar-bandar baharu yang lebih ketara di seluruh negeri.

"Sebagai contoh daerah ini (Kuala Terengganu), ia akan melibatkan pembangunan Kampung Ladang Sahak, Tanjung, Batas Baru, Gong Kapas, Cabang Tiga dan Kuala Terengganu City Centre (KTCC)," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri di Kuala Teregganu, Isnin.


Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Muhammad Pehimi Yusof (BN-Jerteh) yang ingin tahu adakah kerajaan Terengganu mempunyai perancangan untuk pembangunan semula bandar-bandar di setiap daerah di negeri ini.

Ahmad Said berkata bagi daerah Besut pula, rancangan menyusun semula pekan Jertih termasuk membina kemudahan dan rangkaian perniagaan akan dilaksanakan secara berperingkat, manakala pusat pentadbiran daerah Hulu Terengganu akan dibangunkan dengan kemudahan lengkap dan menyusun semula pekan-pekan di daerah itu termasuk Ajil.

Bagi daerah Dungun, kerajaan ingin menjadikan Sura Gate sebagai pusat komersial dengan pembinaan pusat pentadbiran baharu termasuk di bandar Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Ketengah, katanya.

Beliau berkata di Kemaman, rumah-rumah kediaman, pusat-pusat beli-belah, kolej komuniti dan Jabatan Bomba dan Penyelamat sedang dan akan dibangunkan di Bandar Baru Kijal.

"Kita juga akan wujudkan bandar-bandar baharu di Kuala Terengganu pada masa depan seperti pembangunan bandar baharu Bukit Besar yang menyaksikan sebahagian pejabat-pejabat kerajaan persekutuan telah mula dibina.

"Selain itu masjid baharu yang akan dijadikan masjid negeri juga akan dibina di kawasan itu," katanya. 

No comments:

Post a Comment