Thursday, October 3, 2013

PAS Mahu PRK DUN Sungai Limau Diadakan Sebelum Belanjawan 2014

PAS kelmarin mencadangkan agar pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau diadakan sebelum pembentangan Belanjawan 2014 pada 25 Okt.

Naib Presidennya Datuk Mahfuz Omar berkata selain mengelak persepsi kerajaan menggunakan pembentangan belanjawan untuk menarik pengundi, pelaksanaan segera PRK itu juga dapat mengelak pertembungan dengan pemilihan Umno dan PAS.

"Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak perlu menunggu sehingga Khamis ini untuk mengadakan mesyuarat berkaitan kekosongan DUN Sungai Limau kerana ia perlu disegerakan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

Pemilihan Umno dijadualkan pada 12 dan 19 Okt manakala Muktamar PAS akan diadakan pada 30 Okt. 

Mengulas lanjut, Mahfuz yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah yakin parti itu dapat mempertahankan kawasan berkenaan. DUN Sungai Limau kosong ekoran penyandangnya Tan Sri Azizan Razak yang mewakili PAS meninggal dunia pada 26 Sept lalu di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

Pada pilihan raya umum ke-13, Azizan yang juga bekas Menteri Besar Kedah mengatasi calon Barisan Nasional Mohd Fazillah Mohd Ali dengan kelebihan 2,774 undi.

Turut bertanding pada pilihan raya itu ialah dua calon bebas iaitu Abdullah Hashim dan Sobri Ahmad yang hilang wang pertaruhan masing-masing.

No comments:

Post a Comment