Saturday, October 26, 2013

Kes Pegawai Bank Mati Ditembak: Penugasan Pengawal Ditentukan Syarikat Keselamatan

Suspek yang sedang diburu polis...
Penugasan pengawal keselamatan di sesebuah bank ditentukan oleh syarikat yang menyediakan perkhidmatan itu, bukan oleh bank, kata Pengurus Besar Kanan Komunikasi Korporat dan Pemasaran Kumpulan Ambank Syed Anuar Syed Ali.

Menurutnya kebanyakan bank di negara ini menggunakan perkhidmatan syarikat berkenaan, sekali gus menyebabkan pengawal keselamatan di bank masing-masing sering bertukar.

"Ini semua di bawah syarikat itu. Buat masa ini kami tidak menerima apa-apa maklumat mengenai pengawal keselamatan itu. Malah kami juga menunggu polis untuk maklumat lanjut," katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, semalam.

Dalam kejadian Rabu lepas, seorang pengawal keselamatan menembak mati pegawai bank itu ketika merompak cawangan bank berkenaan dalam kejadian di Jalan USJ 2, Subang Jaya, Selangor.



Pengawal keselamatan itu yang sebenarnya bertugas di bank lain, hadir bertugas di Ambank cawangan berkenaan bagi menggantikan orang lain yang tidak datang bekerja

 Rentetan itu, Kementerian Dalam Negeri membatalkan lesen syarikat kawalan keselamatan terbabit kerana gagal mematuhi syarat Akta Agensi Persendirian 1971.

Siasatan polis pula mendapati suspek yang dikenali sebagai Ardi Hamza itu menggunakan kad pengenalan palsu serta dipercayai berasal dari Sulawesi, Indonesia

Timbalan Ketua Setiausaha Kanan (Keselamatan) KDN Datuk Alwi Ibrahim berkata, syarikat berkenaan didapati gagal mematuhi syarat dan peraturan pengendalian serta pengurusan agensi persendirian di bawah Akta Agensi Persendirian 1971.

"Kementerian mendapati syarikat kawalan keselamatan itu mempunyai lesen untuk menggaji pengawal keselamatan yang menggunakan senjata api tetapi pengawal keselamatan (suspek) itu tidak ada lesen membawa senjata api.

"Selain itu, syarikat kawalan keselamatan itu baru mengemukakan permohonan untuk membuat tapisan keselamatan bagi pegawal keselamatan terbabit (suspek) pada hari ini (kelmarin).

Sehubungan itu, KDN memutuskan untuk membatalkan lesen syarikat berkenaan," katanya pada sidang akhbarkelmarin.

Dalam kejadian 6 petang semalam, pegawai operasi Ambank Norazita Abu Talib, 37, ditembak di muka oleh seorang pengawal keselamatan berusia 37 tahun selepas beliau membuka pintu bilik kebal bersama rakan setugasnya.

Alwi berkata polis masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti identiti dan latar belakang suspek yang merupakan seorang pegawal keselamatan gantian di bank berkenaan.

"Setakat tengah hari tadi (kelmarin), suspek belum ditahan," katanya.

Sementara itu, Alwi berkata KDN telah mengeluarkan Lesen Agensi Persendirian kepada 751 syarikat kawalan keselamatan dan daripada jumlah itu, sebanyak 125 syarikat mempunyai lesen untuk menjalankan operasi kawalan keselamatan senjata api.

Untuk memastikan syarikat kawalan keselamatan mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan, beliau berkata KDN sedang melakukan audit secara menyeluruh terhadap syarikat-syarikat berkenaan.

"Audit sedang dijalankan dan sehingga kini, sebanyak 90 peratus syarikat telah diaudit dan kami akan membuat analisa dan rumusan," katanya.

Beliau turut memberi amaran keras kepada syarikat kawalan keselamatan agar mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan, termasuk menggunakan pengawal keselamatan dari negara sumber bagi mengelak lesen syarikat dibatalkan serta-merta.

Sementara itu, ketika dihubungi Bernama, wakil syarikat kawalan keselamatan berkenaan, enggan mengulas.
"Saya tak nak komen apa-apa," kata wanita yang mengaku pegawai perhubungan awam syarikat.

Mengulas lanjut, Syed Anuar berkata buat masa ini pihaknya belum bercadang menubuhkan pasukan polis bantuan bagi menggantikan pengawal keselamatan

Sementara itu, Presiden Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia Datuk Shaheen Mirza Habib memberitahu Bernama, pengambilan pengawal keselamatan mesti berdasarkan prosedur yang ditetapkan oleh Kementerian Dalam Negeri.

"Seorang pengawal keselamatan itu hendaklah melalui tapisan yang telah ditetapkan seperti tiada rekod jenayah lampau.

Apabila pengawal keselamatan itu telah mula bertugas, pihak syarikat perlu memastikan pengawal itu berkelakuan baik sekurang-kurangnya selama enam bulan sebelum dibenar memohon lesen untuk menjadi pengawal bersenjata

 "Setelah memperoleh lesen senjata api, syarikat kawalan keselamatan perlu menghantar pengawalnya itu menjalani latihan menembak dan memastikan ia mengikut segala peraturan yang telah ditetapkan semasa menjalankan tugas," katanya

No comments:

Post a Comment