Saturday, October 26, 2013

NKRA Pengurangan Jenayah - PBT Terengganu Terima Peruntukan CCTV

Kerajaan menyediakan peruntukan RM450 juta di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pengurangan Jenayah, demikian menurut Laporan Ekonomi 2013/2014.

Laporan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan itu menyatakan sejumlah RM24.5 juta diperuntukkan bagi pembelian 1,000 unit motosikal 250cc untuk Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Polis Diraja Malaysia (PDRM), selain peruntukan tambahan RM10 juta diberi bagi tujuan pembelian 400 unit motosikal lagi. 

Motosikal yang dilengkapi aksesori seperti topi keledar, sarung tangan, lampu suluh dan baju hujan telah diagihkan kepada lapan negeri iaitu Selangor (268), Johor (219), Kuala Lumpur (145), Pulau Pinang (133), Perak (85), Kedah (68), Sabah (68) dan Sarawak (14).

Menurut laporan itu, 10,000 anggota Pasukan Sukarelawan Polis (PVR) telah dilatih dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM87 juta bagi pengambilan rekrut, latihan, elaun serta kad kuasa.

Kerajaan juga telah memasang 496 unit kamera litar tertutup (CCTV) yang meliputi 25 pihak berkuasa tempatan di Johor, Kedah, Melaka, Pahang, Perak, Pulau Pinang, Terengganu, Sabah dan Sarawak bagi mencegah jenayah jalanan di kawasan bandar.

Menurut laporan itu juga, geran pelancaran RM10,000 diperuntukkan kepada setiap persatuan penduduk bagi aktiviti kepolisan masyarakat dengan RM14.8 juta telah diagihkan yang memberi manfaat kepada 1,492 persatuan penduduk pada Ogos 2013.

Selain itu, RM20 juta diperuntukkan kepada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) sepanjang tahun 2013 sebagai bantuan kepada golongan kurang berkemampuan untuk mendapatkan khidmat guaman. 

"Sehingga Ogos 2013, YBGK telah menyediakan bantuan berkaitan jenayah kepada 56,643 rakyat Malaysia pada pelbagai peringkat tangkapan, reman, permohonan ikat jamin dan perbicaraan," kata laporan berkenaan.

No comments:

Post a Comment