Thursday, October 10, 2013

Kesungguhan Politik Prasyarat Untuk Teruskan Penyelidikan Saintifik Mengenai Antartika - Sultan Mizan

Sultan Mizan (tengah) ketika melawat Antartika.
Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah kesungguhan politik secara mendalam oleh kerajaan merupakan prasyarat utama untuk membolehkan penyelidikan saintifik berkaitan Antartika terus dilakukan. 

Titah baginda, satu lagi langkah penting ialah meneruskan wawasan kerajaan Malaysia agar Antartika dikongsi bersama oleh semua pihak, demi kesejahteraan seluruh umat manusia.

"Jika kita mampu mencapai begitu banyak kejayaan dengan keadaan yang ada sekarang, bayangkanlah betapa banyak kemajuan yang boleh Malaysia capai dalam penyelidikan Antartika sekiranya negara ini mempunyai stesen penyelidikan di benua itu," titah baginda ketika merasmikan Seminar Antarabangsa Malaysia Keenam mengenai Antartika di Pulau Pinang, kelmarin.

Sultan Mizan bertitah penglibatan Malaysia dalam Sistem Perjanjian Antartika (ATS) juga merupakan langkah tepat untuk membolehkan negara ini memanfaatkan pelbagai sumber bagi meneruskan penyelidikan saintifik tentang benua itu.

Majlis perasmian seminar dua hari itu turut dihadiri Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Ewon Ebin dan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.

Sultan Mizan, yang juga penaung Yayasan Penyelidikan Antartik Sultan Mizan, bertitah adalah sesuatu yang membanggakan apabila usaha Malaysia melalui "Persoalan Antartika", yang ditimbulkan pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu, secara tidak langsung menjadikan ATS lebih telus dan inklusif kepada negara anggota lain.

"Ketika usaha dilakukan di peringkat politik untuk mengubah kedudukan eksklusif Antartika kepada keprihatinan bersama dan kerjasama penyelidikan, para saintis Malaysia mempelopori penyelidikan tentang benua itu dalam bidang nic dan menjadi pakar yang sering dirujuk oleh rakan sejawatan mereka dari negara lain," titah baginda.

Baginda juga mengucapkan syabas kepada kira-kira 150 saintis dan pelajar muda Malaysia yang mengharumkan nama negara, walaupun Malaysia tidak memiliki stesen penyelidikan di Antartika.

Sementara itu, Dr Ewon menggesa sektor swasta dan syarikat multinasional supaya menyertai kerajaan dalam memberi sokongan terhadap usaha mengekalkan pembabitan Malaysia dalam penyelidikan berkaitan kutub serta meningkatkan kemampuan penyelidikan dalam bidang utama sains di peringkat global.

"Kita adalah antara segelintir negara tropika yang menceburi bidang penyelidikan kutub dan baru-baru ini, Malaysia dipilih menjadi tuan rumah Persidangan Sains Terbuka Jawatankuasa Saintifik mengenai Penyelidikan Antartika (SCAR) 2016," kata beliau.

No comments:

Post a Comment