Thursday, October 10, 2013

Tabung Haji Peruntuk RM93.3 Juta Subsidi Untuk Jemaah Haji Tahun Ini


Lembaga Tabung Haji (TH) memperuntukkan RM93.3 juta bagi menampung kos subsidi haji untuk 22,320 jemaah tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata kos subsidi itu berkurangan berbanding kira-kira RM120 juta tahun lepas berikutan tindakan Arab Saudi mengurangkan kuota haji untuk setiap negara sebanyak 20 peratus.

Subsidi itu melibatkan RM5,575 setiap jemaah untuk menampung kos sebenar menunaikan haji iaitu RM15,555, katanya pada sidang akhbar sebelum berlepas ke Jeddah, Arab Saudi di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang, semalam.

Beliau berkata bayaran yang ditetapkan TH untuk jemaah tidak berubah iaitu RM9,980 biarpun kos penginapan, pengangkutan dan makanan meningkat mengikut keadaan ekonomi semasa.

"Untuk tahun ini sehingga 30 Sept lepas, hampir 1.3 juta umat Islam negara ini telah berdaftar dengan TH untuk menunaikan ibadah haji...bakal jemaah haji perlu menunggu sehingga 50 tahun bagi pendaftaran baharu ini," katanya.

Jamil Khir berkata berikutan tempoh menunggu yang lama itu, TH menerima lebih 100,000 rayuan untuk mempercepatkan tarikh ke Makkah, termasuk daripada mereka yang menggunakan saluran tertentu seperti hubungan dengan ahli politik.

"Jangan kemukakan rayuan, TH sudah menetapkan tarikh giliran menunaikan haji apabila mereka membuat pendaftaran," katanya sambil menegaskan bahawa orang ramai perlu memahami sistem yang diguna pakai TH iaitu tertakluk kepada kuota yang diperoleh.

Sementara itu, Pengerusi TH Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata TH membuka pusat operasi 24 jam di pejabat agensi itu di Kelana Jaya, Selangor, untuk memberi bantuan dalam pelbagai urusan jemaah haji termasuk kematian.

Pusat operasi TH itu akan memaklumkan berita kematian dengan segera kepada anggota keluarga jemaah haji yang terlibat, katanya sambil memberitahu bahawa sehingga hari ini lapan jemaah meninggal dunia di Makkah dan Madinah.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum mengucapkan selamat jalan kepada kumpulan terakhir jemaah haji tahun ini, yang menaiki pesawat MH 8108 ke Jeddah pada pukul 5.45 petang.

Abdul Azeez berkata TH juga merancang untuk mengambil rakyat Malaysia yang bermastautin di Arab Saudi sebagai petugas TH pada masa depan kerana mereka mempunyai kelebihan iaitu dapat berbahasa Arab dan mengetahui keadaan sekeliling di sana.

No comments:

Post a Comment