Sunday, October 13, 2013
Keterbukaan Proses Pemilihan Bukti Umno Tunjangi Demokrasi - Najib
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata hasrat menjadikan Umno sebuah parti yang benar-benar menunjangi demokrasi tercapai melalui proses pemilihan lebih terbuka bagi sayap parti seperti yang berlangsung semalam
Perdana Menteri merangkap Presiden Umno berkata kejayaan dan kelancaran proses pemilihan yang dijalankan secara lebih terbuka melibatkan hampir suku juta perwakilan dan 33,012 calon itu membuktikan keputusan meminda perlembagaan Umno pada 2009 adalah tepat dan diterima.
"Sabtu malam merupakan malam bersejarah untuk Umno...perjalanan untuk lakukan transformasi pada parti bermula pada perhimpunan agung 2009, di mana kita meminda perlembagaan.
"Ini supaya Umno menjadi sebuah parti bersifat demokrasi terbuka, dan hari ini (Sabtu), Alhamdulillah terbukti bahawa keputusan itu amat tepat dan kena pada masanya," katanya.
Najib bercakap pada sidang media selepas mendengar taklimat perjalanan pemilihan Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri di peringkat bahagian dan pusat, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, malam semalam.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Tan Sri Tajol Rosli Ghazali dan Ketua Penerangan Datuk Ahmad Maslan.
Sebelum ini, hanya sekitar 2,000 perwakilan Umno dari ketiga-tiga sayap itu menentukan saf kepimpinan di peringkat pusat berbanding hampir suku juta perwakilan sekarang
Najib berkata walaupun terdapat sedikit masalah semasa pemilihan di beberapa tempat tetapi secara umumnya beliau bersyukur Umno telah melalui ujian pemilihan kali ini dengan begitu cemerlang sekali.
Perdana Menteri berkata beliau bersama timbalannya benar-benar berbangga atas keupayaan jentera Umno di semua peringkat bermula dengan ibu pejabat, negeri, bahagian dan cawangan yang dapat mengendalikan pemilihan itu dengan berteraskan demokrasi yang lebih terbuka lagi matang.
"Saya atas nama parti dan Majlis Tertinggi ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah bekerja keras di belakang tabir yang selama ini tidak diketahui.
"Cuba bayangkan betapa besarnya kerja yang terpaksa kita lakukan dari segi persiapan, logistik, latihan serta panduan, sekaligus menjadikan pemilihan kali ini begitu mencabar tetapi berbaloi," katanya.
Najib menarik perhatian, pemilihan kali ini menyaksikan 33,012 calon bertanding, 247,000 kertas undi dikeluarkan membabitkan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri, 572 pusat mengundi dan membabitkan 20,000 sukarelawan pemilihan.
Najib berkata proses yang digunakan itu menjadikan Umno parti yang paling terkedepan sekali dalam proses demokrasi yang boleh dijadikan sebagai model kepada parti-parti lain.
"Saya sebut pada Muhyiddin, pada empat tahun lepas kita tak dapat meramal perkara ini, tetapi nampaknya ia telah dapat menarik perhatian bukan sahaja media, malah masyarakat dalam dan luar negara, ini satu bukti bahawa demokrasi hidup segar dalam Umno," katanya.
Berhubung beberapa masalah yang berlaku pada pemilihan kali ini dan langkah mengatasinya sebelum berlangsungnya pemilihan Majlis Tertinggi Sabtu ini, Najib berkata apa jua kelemahan dan kekurangan akan dijadikan panduan dan ditambah baik.
No comments:
Post a Comment