Sunday, October 6, 2013

Korban perlu ada sijil JPV jamin ternakan lembu untuk keperluan Hari Raya

Gambar Hiasan...penyembelihan memerlukan sijil kesihatan JPV.
Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri Terengganu meminta orang ramai yang ingin membuat penyembelihan ternakan korban sempena hari Raya Aidiladha tidak lama lagi, supaya membuat permohonan awal bagi mendapatkan Sijil Kesihatan Veterinar.

Pengarahnya, Dr Marzuki Zakaria berkata, setiap ternakan yang ingin dikorbankan sama ada lembu atau kambing perlu mendapat sijil tersebut di JPV daerah atau negeri selain syarat-syarat korban lain. 

Menurutnya, jika ternakan tersebut disembelih di masjid, surau, padang awam, balai raya dan rumah persendirian, selain daripada Sijil Kesihatan Veterinar dan Akuan Kebenaran Pindah, Permit Penyembelihan Luar juga perlu dimohon oleh pihak pengurusan ternakan korban atau mana-mana individu yang akan menjalankan aktiviti korban, sekurang-kurangnya dua hari sebelum tarikh penyembelihan.


“Perkara ini perlu dipandang serius sebab sehingga kini, kita masih belum menerima sebarang permohonan lagi.

Walaupun tempohnya masih panjang sebelum tibanya hari raya, tetapi sebaik-baiknya permohonan awal digalakkan bagi memudahkan urusan.

“Kebiasaannya, mereka akan mula membuat permohonan pada saat akhir. Apabila permohonan dibuat, jabatan akan membuat pemeriksaan setiap ternakan korban sebelum Sijil Kesihatan Veterinar dan Akuan Kebenaran Pindah dikeluarkan bagi memastikan ternakan yang akan disembelih sihat dan bebas penyakit,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, pihaknya sentiasa membuat pemeriksaan terhadap ternakan yang dipelihara di negeri ini dan tahap kesihatan terjamin, namun prosedur tersebut perlu dipatuhi supaya tidak berlaku perkara tidak diingini.
Beliau turut memberi jaminan ternakan lembu untuk keperluan hari raya termasuk dijadikan korban mencukupi, namun permit untuk membawa masuk ternakan itu masih dibuka sebagai persediaan jika berlaku kekurangan bekalan.

Katanya, pada tahun lepas kira-kira 2,700 ekor lembu dan 100 ekor kambing dikorbankan sempena Aidiladha.

Sementara itu, pemantauan turut dilakukan di sempadan negeri bagi mencegah kegiatan penyeludupan ternakan itu terutama menjelang hari raya nanti.

Ini kerana, walaupun pada tahun lepas tiada tangkapan yang dibuat namun dibimbangkan kegiatan seperti ini mungkin berlaku pada di saat-saat akhir menjelang hari raya terutama ketika orang ramai mula sibuk membuat pelbagai persiapan.

No comments:

Post a Comment