Sunday, October 6, 2013

Kod Etika Tidak Munasabah Kata Shahrir, Khairy Setuju Syarat Kempen Dilonggarkan

Penyandang Ketua Umno Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad semalam menyifatkan kod etika pemilihan Umno kali ini sebagai tidak munasabah kerana menyukarkan calon untuk berkempen. 

Anggota Parlimen Johor Bahru itu berkata, sebagai orang yang menawarkan diri, maka, setiap calon yang bertanding perlu diberi ruang seluasnya supaya mereka berpeluang menyuarakan hasrat dan bukan sekadar terbatas pada sesi pengenalan calon.

"Saya berasa pelik dan tidak munasabah kerana pada pandangan saya peluang berkempen harus dibuka seluas-luasnya.

"Ini kerana sesi pengenalan calon hanya sebagai acara rasmi untuk memperkenalkan diri kepada perwakilan," katanya selepas menghadiri sesi taklimat dan pengenalan calon Umno Bahagian Johor Bahru, di Johor Bharu, semalam.

Shahrir berkata, beliau yakin masalah politik wang juga tidak akan timbul sekiranya calon diberikan peluang berkempen memandangkan bukan mudah menyogok wang kepada perwakilan yang begitu ramai pada pemilihan kali ini.

"Kita mahu pertandingan yang sihat. Tidak perlu takut soal politik wang kerana kita ada Lembaga Disiplin parti yang boleh mengambil tindakan dan saya ingat bukan mudah juga hendak jumpa kira-kira 150,000 perwakilan yang ada," katanya

 Beliau mengulas beberapa larangan ketika berkempen termasuk semua calon di peringkat bahagian atau pusat dilarang berkempen bersendirian sebaliknya hanya dibenarkan memperkenalkan diri pada majlis rasmi anjuran Badan Perhubungan Umno negeri. Shahrir akan ditentang Ketua Umno Cawangan Jalan Utama, Kampung Melayu Zulkifli Ismail dan Ketua Umno Cawangan Taman Suria, Datuk Ahmad Kemin pada pemilihan kali ini.

Mengenai pemilihan di Bahagian Johor Bahru, beliau berkata, seramai 646 perwakilan daripada 83 cawangan dalam bahagian terbabit akan membuat pemilihan bagi menentukan kepimpinan parti.

Katanya, pemilihan pada peringkat cawangan sebelum ini menyaksikan hampir 30 peratus berlaku peralihan kepimpinan yang sekaligus membuktikan Umno sebagai masih 'sihat' dan 'kuat' serta terus mendapat sambutan golongan muda.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin bersetuju dengan teguran beberapa calon agar syarat berkempen pada pemilihan Umno kali ini perlu dilonggarkan bagi memberi peluang kepada calon memperkenalkan diri.

Beliau berkata ini kerana ada calon yang kurang dikenali perwakilan dan perlunya mereka diberikan ruang secukupnya untuk memperkenalkan diri. "Semua orang kenal saya tapi orang yang lawan saya (bagi jawatan Ketua Pemuda) mungkin orang tak kenal.

Kalau kita nak bagi orang lawan bagilah gelanggang yang terbuka, gelanggang yang sama rata. "Kita kena terbuka sikit. Bukan kita menggalakkan kempen tidak sihat.

Kalau ada kempen tak sihat seperti fitnah, serangan peribadi, politik wang, ok yang itu ambil tindakan tapi sekadar nak jumpa perwakilan, adakan majlis biasa nak jumpa dengan perwakilan saya rasa harus dibenarkan," kata Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan kepada pemberita selepas merasmikan Larian Terbuka Kelantan 2013 semalam.

Pada Jumaat, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan yang merupakan calon Majlis Tertinggi (MT) menyifatkan ada sebahagian peraturan dalam pemilihan Umno kali ini kurang bijak dan boleh membantutkan proses pemilihan.

Antara peraturan itu katanya ialah calon tidak boleh berkempen secara bersendirian bagi bertemu dengan anggota Umno akar umbi dan memperkenalkan diri.

Mengenai potensi dirinya mempertahankan jawatan Ketua Pemuda pada pemilihan parti 12 Oktober ini, Khairy berkata beliau menyerahkan kepada perwakilan untuk membuat penilaian berdasarkan rekod perkhidmatannya sebagai Naib Ketua Pemuda sebelum ini dan Ketua Pemuda sekarang.

No comments:

Post a Comment