Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (Maidam) mengesan kes pertama cubaan seorang gadis untuk berkahwin dengan bapa saudaranya seorang pengikut ajaran Syiah minggu lepas.
Ketua Pegawai Eksekutif Maidam Datuk Mohd Rozali Saleh berkata perkara itu dapat dihalang ibu bapanya selepas dimaklumkan anak mereka yang juga adik gadis berkenaan mengenai perkara itu minggu lalu.
Mereka gagal menghubungi anak gadis mereka selama seminggu dan selepas dimaklumkan anak mereka, ibu bapa gadis itu menyiasat melalui Facebook sebelum mendapati lelaki yang ingin dikahwini anak mereka itu adalah seorang pengikut ajaran Syiah, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pendidikan Fatwa Negeri Terengganu kali 'Mendepani Virus Syiah' di Kuala Terengganu, kelmarin.
Mohd Rozali berkata gadis itu yang bekerja sebagai guru di Kuala Lumpur kini dipantau kedua ibu bapanya yang bimbang dengan keselamatan anak mereka yang cuba didoktrinasi dengan fahaman Syiah oleh bapa saudara sebelah ibunya.
Sehubungan itu, Mohd Rozali turut meminta agar ibu bapa memantau pergerakan anak mereka, terutama yang tinggal jauh di perantauan memandangkan fahaman Syiah ini mudah disebarkan dan menarik perhatian orang awam yang lemah iman berikutan amalan ibadahnya yang lebih senang berbanding Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Mengulas mengenai ancaman Syiah di Institut Pengajian Tinggi di Terengganu, beliau menjelaskan masih tiada kes yang dapat membuktikan penglibatan mana-mana pensyarah atau pelajar dengan fahaman ajaran sesat itu.
"Namun, kita tetap memantau pergerakan pelajar-pelajar dari luar seperti Pakistan, Iraq dan Iran, namun jumlahnya tidak ramai dan kerajaan juga akan memperluaskan seminar seperti ini dari masa ke semasa," katanya.
No comments:
Post a Comment