Saturday, October 5, 2013

ATM Dan Pahang Tempah Tiket Ke Separuh Akhir Piala Malaysia

Wira ATM, Marlon Alex James meledak jaringan hatrik masing-masing pada minit ke-33, 75' dan 83' semalam. 
Pahang dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM)  mengesahkan slot ke separuh akhir Piala Malaysia 2013 selepas menundukkan lawan masing-masing pada perlawanan suku akhir kedua, semalam.

Pahang  menepati ramalan selaku pasukan pilihan apabila mara ke saingan separuh akhir Piala Malaysia selepas menyingkirkan Selangor PKNS dengan agregat 5-3.

Pada perlawanan kedua, pasukan ATM kendalian B. Sathianathan menumpaskan Lions X11 4-1 untuk menang agregat 5-2 selepas ketinggalan 1-0 pada suku akhir pertama di Stadium Jalan Besar, Singapura, Sabtu lepas.

Penyerang berbisa skuad 'The Gladiators', Marlon Alex James menjadi wira pasukan selepas meledak jaringan hatrik masing-masing pada minit ke-33, 75' dan 83' untuk membawa ATM ke separuh akhir.

Jalaluddin Jaafar (kanan) mengasak penyerang PKNS, Patrick Ronaldinho pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Shah Alam malam tadi.



Sementara bagi Pahang pula, selepas menang 3-2 pada aksi suku akhir pertama di Kuantan, Pahang minggu lalu, Tok Gajah meneruskan momentum sedia ada dengan menewaskan PKNS 2-1 dalam aksi suku akhir kedua di Stadium Shah Alam malam tadi.

Beraksi di depan 30,000 penonton, Pahang membuka tirai jaringan menerusi peledak import, Matias Conti hasil sepakan penalti pada minit ke-28. Tonggak Harimau Malaya, Mohd. Azamuddin Akil terus memberi tekanan kepada PKNS apabila menjaringkan gol kedua Tok Gajah pada minit ke-59.

Tersentak dengan dua jaringan Pahang, PKNS kembali mempamerkan corak persembahan agresif dengan melancarkan asakan ke kubu pertahanan lawan.

Asakan bertubi-tubi itu memberikan hasil kepada PKNS apabila Khairul Azrin Khazali meledak gol pada minit ke-66.

PKNS terus bangkit bagi memburu gol dalam tempoh 10 minit terakhir perlawanan, namun gagal menambah sebarang jaringan sehingga tiupan wisel terakhir.

“Kejayaan ini hadir daripada 120 peratus komitmen barisan pemain Pahang. Saya sangat gembira kami berjaya mara ke pusingan separuh akhir.

“Kini saya berazam untuk membantu Pahang mara ke final,” jelas Azamuddin. Jurulatih PKNS, Abdul Rahman Ibrahim memberitahu, beliau tetap berbangga dengan persembahan anak-anak buahnya meskipun tewas kepada Pahang.

“Saya tidak puas hati dengan jaringan pertama Pahang dan gol kedua mereka adalah hasil kesilapan pemain saya sendiri.

“Begitupun, saya tetap berbangga dengan pencapaian PKNS dalam saingan Piala Malaysia kali ini.

Pada perlawanan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS)pula, pemain Lions XII, Hariss Harun 'menghadiahkan' gol pertama untuk pasukan tuan rumah pada minit ke-23.

Gol tersebut berpunca daripada hantaran silang Marlon yang ditampan oleh Hariss sebelum menuju ke dakapan penjaga gol pelawat, Mohd Izwan Mahbud yang gagal menangkap bola dengan kemas sebelum melintasi garisan gol.

Marlon menggandakan kedudukan pada minit ke-33 selepas beliau memanfaatkan hantaran daripada kapten pasukan, Hairuddin Omar sebelum beliau mudah menolak bola masuk untuk menewaskan Mohd Izwan. 

Bersambung separuh masa kedua, pasukan Lions XII menyamakan kedudukan agregat selepas Muhammad Hafiz Abu Sujad melakukan rembatan kencang kaki kiri yang menerjah penjuru kanan gol ATM pada minit ke-49.

Marlon memastikan tiket ke separuh akhir menjadi milik ATM dengan meledak dua lagi gol bagi menyekat hasrat Lions XII yang merupakan juara Liga Super untuk mara lebih jauh.

ATM bagaimanapun terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada masa kecederaan separuh masa kedua selepas pemain pertahanan, Amirizwan Taj Tajuddin dilayangkan kad merah oleh pengadil kerana melakukan kekasaran ke atas penyerang Lions XII, Fazrul Nawaz.

ATM dijadualkan bertemu pemenang perlawanan antara Johor Darul Takzim (Johor DT) dan Kelantan yang bakal membuat perhitungan pada suku akhir kedua di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu, hari ini.

Pahang pula bakal menanti pemenang satu lagi aksi suku akhir kedua antara Sarawak dan Sime Darby FC di Stadium Negeri, Kuching.

Johor DT mengalahkan Kelantan yang merupakan juara bertahan dengan kemenangan 4-2 pada suku akhir pertama di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, manakala Sarawak dan Sime Darby FC terikat seri tanpa jaringan di Stadium MPS, Sabtu lepas.

No comments:

Post a Comment