Polis kini mencari majikan kepada suspek utama kes pembunuhan pengasas kumpulan perbankan Arab-Malaysian (Ambank) Hussain Ahmad Najadi untuk membantu siasatan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, lelaki tempatan berumur 53 tahun itu dipercayai meninggalkan negara selepas kejadian pembunuhan tersebut.
"Dia dipercayai ke Australia dan kami percaya dia masih berada di luar negara.
"Individu itu juga tahu polis sedang cari dia dan kita telah beri masa supaya dia tampil untuk memberi keterangan dan kalau tidak saya akan siarkan gambarnya," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur, semalam.
Suspek utama kes itu ditahan pada 22 September lepas bersama-sama dua rakannya dalam serbuan 12.30 tengah malam di sebuah rumah di Taiping, Perak.
Hussain, 75, maut manakala isterinya cedera parah akibat ditembak dari jarak dekat di kawasan parkir kereta sejurus keluar dari tokong Kuan Yin Temple di Lorong Ceylon di sini pada 29 Julai lepas.
No comments:
Post a Comment