Wednesday, October 2, 2013

Penjawat Awam Hadapi Tuduhan Berkhalwat

Tindakan seorang penjawat awam menjelaskan denda RM2,500, berjaya menyelamatkan dirinya daripada menjadi penghuni tirai besi setelah didapati bersalah berkhalwat dengan seorang janda di sebuah hotel, Mac tahun lalu.

Selepas 11 kali melalui proses perbicaraan, tertuduh, Zahadi Osman, 36, akhirnya membuat pengakuan bersalah di hadapan Hakim Syarie, Shamsuddin Ngah dan didapati bersalah atas tuduhan khalwat dengan pasangannya, Raja Mordziah Raja Husin, 37, seorang pembantu kedai makan.

Menurut fakta kes, tertuduh yang berasal dari kampung Alor Rekam Pulau Serai bersama pasangannya yang beralamat di Kuala Klawang, Negeri Sembilan, ditahan sepasukan pegawai penguat kuasa agama di sebuah bilik di Six Villa Inn, Paka, kira-kira jam 2.10 pagi 23 Mac tahun lalu.

Sebaik pintu diketuk, seorang lelaki (tertuduh) membuka pintu dan pemeriksaan menemui seorang perempuan sedang berbaring atas katil dan soal siasat mendapati mereka tidak mempunyai hubungan muhrim.




Tertuduh lelaki dihadapkan ke mahkamah pada 23 April 2012, namun dia tidak mengaku bersalah. 

Bagaimanapun, pasangannya berstatus janda, Raja Mordziah mengaku bersalah semalam dan dijatuhkan hukuman denda RM2,500 atau tiga bulan penjara.

Tertuduh lelaki yang bekerja di sebuah jabatan kerajaan di Dungun kemudian menjelaskan denda untuk mengelak dipenjarakan.

 Pasangan itu didakwa mengikut Seksyen 31(a)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu 2001 dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

SH Online

No comments:

Post a Comment