Sunday, October 6, 2013

Ops Cantas: Selangor Catat Tangkapan Tertinggi


Seramai 380,343 orang telah diperiksa dalam Ops Cantas yang dijalankan sejak 17 Ogos lepas sehingga semalam di seluruh negara, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 178,217 merupakan kaum Melayu, Cina (77,104); India (73,505) dan lain-lain (51,517).

"Daripada jumlah itu, polis berjaya menahan seramai 14,511 anggota kumpulan kongsi gelap dan samseng," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis taklimat keselamatan bersama pemimpin masyarakat di Melaka, semalam.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka, Datuk Idris Haron dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Ahmad Zahid berkata, Selangor mencatat tangkapan paling tinggi dengan 6,191 individu diikuti Johor (2,682) dan Kuala Lumpur (1,185).

Bagi negeri Melaka sahaja, Ahmad Zahid berkata, seramai 2,600 individu diperiksa dan mereka yang didapati terlibat dalam kes jenayah akan dibawa ke mahkamah.

Katanya beliau berpuas hati dengan tindakan polis Melaka dalam membanteras jenayah bagi memastikan negeri yang terkenal dengan destinasi pelancongan itu berada dalam keadaan selamat.

Dalam pada itu, beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini sedang menunggu Akta Pencegahan Jenayah (PCA) untuk dikuatkuasakan setelah ia diwartakan nanti.

"Dengan taring baharu melalui PCA yang diberikan kepada polis ini, ia telah memulihkan semula semangat di kalangan pegawai dan anggota polis untuk memerangi jenayah," katanya.

No comments:

Post a Comment