Sunday, October 6, 2013

Sistem Penarafan Bagi Persatuan Belia Untuk Layak Terima Dana

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memperkenalkan sistem penarafan secara online bermula April tahun depan sebagai usaha memastikan hanya persatuan belia yang aktif sahaja menerima dana daripada kementerian tersebut

 Menterinya Khairy Jamaluddin berkata melalui sistem online itu, setiap persatuan belia perlu menghantar laporan mengenai aktiviti dan maklumat persatuan sebagai kriteria untuk diberi penilaian.

"Mana-mana persatuan yang menerima penilaian empat atau lima bintang dari KBS akan menerima jumlah dana yang berbaloi demi kesinambungan program yang bermanfaat untuk rakyat, khususnya orang muda. 

"Persatuan yang gagal menyediakan laporan itu akan kita hubungi untuk beri bantuan dari aspek teknikal atau nasihat supaya ia terus aktif dan layak menerima dana dari KBS," katanya dalam sidang media selepas majlis ramah mesra bersama pemimpin belia di Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Mohd Mahdi Musa, Pengerusi Majlis Belia Negeri Terengganu, Zaidi Muda dan Pengerusi Belia 4B Terengganu, Mohd Iskandar Jaafar.

Pada majlis itu, Khairy turut menyampaikan sumbangan dana kementerian sebanyak RM260,000 kepada 660 persatuan belia di seluruh Terengganu.

Sehingga kini kira-kira 400 dari 8,000 persatuan belia di seluruh negara dikesan tidak lagi aktif dalam apa-apa aktiviti.

Bagaimanapun Khairy berkata setelah dibuat saringan, kira-kira 100 dari 400 persatuan belia yang tidak aktif itu dikesan masih layak menerima bantuan dana dan diberi bantuan agar aktif semula dengan pelbagai program untuk belia.

"Antara faktor menyebabkan persatuan belia ini tidak aktif ialah kerana pemimpinnya sudah berumur, tidak melantik pemimpin pelapis dan ada yang tidak minat lagi untuk berpersatuan," katanya.

No comments:

Post a Comment