Seorang penjenayah yang diburu sejak awal bulan
lalu kerana disyaki terbabit dalam kes pecah rumah dan curi kereta di Beserah, Kuantan berjaya ditangkap di Kampung Padang Luas dekat Jerteh, awal semalam.
Suspek berumur 24 tahun, yang melakukan pecah rumah dan mencuri sebuah kereta jenis Proton Satria pada 11 September lalu berjaya ditangkap dekat Kampung Padang Luas, Jerteh kira-kira jam 3.20 pagi.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, suspek ditahan oleh sepasukan anggota polis dari Balai Polis Jerteh yang melakukan rondaan di kawasan tersebut selepas melihat suspek dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, ketika meronda, polis terserempak suspek sedang berjalan kaki
seorang diri sambil menggalas beg dan selepas diperiksa polis mendapati seunit komputer riba, seutas jam tangan dan sebentuk cincin pada lelaki itu.
“Pemeriksaan lanjut mendapati lelaki itu adalah suspek kes pecah rumah di
Kuantan dan kesemua barang di dalam begnya dipercayai yang dicuri dari rumah berkenaan,” katanya.
Kamaruddin berkata, ketika disiasat suspek turut mengaku mencuri kereta yang dilaporkan hilang di Beserah pada 11 September lalu dan menyatakan dia menjual komponen dan badan kereta berkenaan kepada seorang rakannya.
Susulan itu polis menahan seorang lelaki di Semerak, Pasir Putih, Kelantan
pada pagi sama iaitu rakan suspek itu.
“Bagaimanapun enjin kereta itu telah dipisahkan dan dipercayai dimasukkan ke kereta jenis sama milik suspek berusia 24 tahun dan kereta suspek kedua ini turut disita untuk pemeriksaan,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua suspek telah diserahkan kepada polis Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan untuk siasatan lanjut.
No comments:
Post a Comment