Monday, October 7, 2013
Siri Kriterium SapuraKencana-SIC - Mohd Fauzan Juarai Kategori Lelaki Elit
Pelumba kebangsaan Mohd Fauzan Ahmad Lutfi menjuarai kategori lelaki elit bagi perlumbaan berbasikal Siri Kriterium SapuraKencana-SIC pusingan kedua yang berlangsung di Trek Selatan Litar Sepang semalam.
Pelumba mewakili pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu berkongsi kemenangan dengan rakan sepasukan Nik Mohd Azuan Zulkifli di tempat kedua dengan catatan masa yang sama iaitu 1 jam 26 minit satu saat dalam perlumbaan melibatkan 11 pusingan.
Tempat ketiga milik pakar pecut negara Mohd Hariff Salleh yang mewakili Terengganu Cycling Team (TSG) dengan catatan masa 1:27:26s.
"Hari ini sasaran saya memang mahu menang, berlumba di trek Litar Sepang sangat mencabar sebab angin kuat tetapi ia lebih selamat (berbanding berlumba di jalan raya).
"Perlumbaan ini juga merupakan persediaan sekiranya terpilih untuk mewakili negara di Sukan SEA nanti. Perlumbaan ini saya gunakan untuk meningkatkan kekuatan dan juga kelajuan, khususnya dalam persediaan untuk berlumba dalam kategori ujian masa individu pada Sukan SEA.
"Bagi saya, promosi perlumbaan Siri Kriterium seperti ini perlu diperhebatkan lagi, ia satu perlumbaan yang bagus kerana keselamatan yang lengkap serta selamat," katanya kepada pemberita semalam.
Sementara itu, bekas pemenang pingat emas Sukan SEA Manila edisi 2005 Noor Azian Alias ternyata masih berbisa untuk meraih kemenangan dalam kategori Terbuka Wanita dengan catatan masa 49:58s memintas anak didiknya, Lauretta Eva Adrian di tempat kedua dengan perbezaan masa hanya 0.113s.
Tempat ketiga milik Nurul Suhada Zainal dengan masa 49:58s.
"Saya tidak menyasarkan kemenangan ini, penyertaan saya kali ini adalah untuk memberi pendedahan kepada anak didik saya iaitu Lauretta dan Nurul Suhada supaya mereka lebih berani dan matang dalam menghadapi perlumbaan pada masa akan datang," kata jurulatih skuad berbasikal pelapis wanita Majlis Sukan Negara itu.
No comments:
Post a Comment