Thursday, October 10, 2013

Penyakit Jantung Kekal Penyebab Kematian Nombor Satu Negara - Dr S. Subramaniam

Penyakit jantung masih kekal sebagai penyebab kematian nombor satu negara. Mendedahkan demikian, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata anggaran 4.52 kes baharu khusus bagi penyakit jantung koronari dilaporkan setiap jam.

"Statistik Kementerian Kesihatan yang dijalankan setiap tahun mencatatkan kira-kira 40,000 kes baharu penyakit jantung koronari.

"Dalam kebanyakan kes, pesakit yang pulih boleh meneruskan kehidupan yang produktif akan tetapi mereka perlu membuat peruntukan untuk kos pemulihan, rawatan khas dan perubahan diet dan ini memerlukan sokongan kewangan kukuh," katanya.

Teks ucapan beliau dibaca oleh timbalannya, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya pada Persidangan Promosi Kesihatan Kebangsaan 2013 semalam.

Malah, kata Dr Subramaniam, Kajian Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan sejak tahun 1986 hingga 2011 menunjukkan hampir keseluruhan faktor risiko dan penyebab penyakit di Malaysia berpunca dari amalan gaya hidup tidak sihat seperti kurang bersenam, pemakanan, merokok dan pengambilan alkohol yang menjurus kepada pelbagai penyakit kronik.

Ia termasuk diabetis, kardiovaskular, strok, kanser dan lain-lain katanya.

"Bahkan menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, hampir 80 peratus penyakit kronik seperti jantung, strok, diabetis jenis 2 serta sebilangan penyakit kanser boleh dicegah melalui amalan pemakanan sihat, melakukan aktiviti fizikal serta mengelak pengambilan alkohol atau tembakau," katanya.

Bertemakan 'Health Investment Through Advancing Health Promotion' persidangan dua hari bermula semalam turut menggabungkan 300 pengamal kesihatan bagi membincangkan isu berkaitan.

No comments:

Post a Comment