Thursday, October 10, 2013

DBP Beri Tumpuan 10 Program Martabatkan Bahasa Melayu

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan memberi tumpuan untuk melaksanakan 10 program baharu bagi memartabat dan memperkasakan bahasa Melayu dalam tempoh lima tahun akan datang.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Prof Dr Zaharani Ahmad berkata antara yang akan diberi tumpuan utama ialah program audit bahasa, Pusat Rujukan Persuratan Melayu yang dibangunkan secara online, E-Buana dan E-Pendeta serta khidmat nasihat DBP dan pengesahan bahasa dalam talian.

"Selain itu dana pembudayaan bahasa dan persuratan Melayu, pembudayaan bahasa dan sastera, Akademi DBP serta sebuah muzium bahasa juga akan kita beri fokus dalam tempoh yang ditetapkan.

"DBP juga akan memberi penekanan terhadap pengantarabangsaan bahasa dan persuratan Melayu, dana penerbitan ilmian dan rakan strategik dan rakan bestari," katanya selepas majlis Pelancaran Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) peringkat negeri Terengganu di Kuala Terengganu, semalam.

Majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam itu dirasmikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Dr Zaharani berkata kewujudan portal untuk akses rakyat Malaysia itu dapat memudahkan mereka memperoleh maklumat tepat mengenai penggunaan bahasa dan mewujudkan interaksi yang baik antara DBP dan masyarakat.

"DBP juga memang menawarkan bantuan untuk mana-mana pihak yang mahukan kefahaman tentang penggunaan bahasa yang tepat seperti papan iklan yang sering dirujuk oleh beberapa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara.

"Malah, DBP juga kini bekerjasama dengan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) untuk menjadikan penggunaan bahasa Melayu yang bermutu sebagai antara kriteria penarafan bintang kepada jabatan kerajaan yang terlibat," katanya.

Mengulas mengenai program BBK itu, Dr Zaharani menegaskan ia bertujuan menyatukan semangat dan suara rakyat Malaysia yang pelbagai kaum dalam menzahirkan kempen melalui pendeklamasian puisi, persembahan budaya dan tradisional dan nyanyian.

"Antara pengisian acara dalam majlis ini ialah persembahan bahasa berirama, persembahan lagu puisi, sketsa dan persembahan kebudayaan," katanya.

No comments:

Post a Comment