Calon bagi jawatan Naib Presiden Umno Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad mengakui pelbagai peraturan ditetapkan jawatankuasa pemilihan UMNO menimbulkan kekangan kepada calon yang bertanding.
Beliau bagaimanapun berkata, sebarang usaha untuk mengubah peraturan itu kini sudah terlewat memandangkan tempoh pemilihan yang semakin hampir.
Katanya, usaha itu sepatutnya dilakukan sebelum pemilihan namun terpulang kepada jawatankuasa Majlis Tertinggi UMNO untuk melaksanakan perubahan tersebut.
"Saya melihat ini dah terlewat, pemilihan tinggal beberapa hari lagi. Sepatutnya ditimbulkan sebelum pemilihan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Dana Warisan Rumpun Melayu di Johor Bahru, semalam.
Beliau diminta mengulas mengenai kod etika pemilihan Umno kali ini yang dilihat ramai calon sebagai tidak munasabah kerana menyukarkan mereka untuk berkempen.
Di antara mereka ialah penyandang Ketua Umno Bahagian Johor Baharu, Tan Sri Shahrir Abdul Samad yang dilaporkan berkata pada Sabtu, setiap calon yang bertanding perlu diberi ruang seluasnya untuk menyuarakan hasrat mereka dan bukan sekadar terbatas pada sesi pengenalan calon.
Beliau yang berasa pelik dengan peraturan itu menyifatkannya sebagai tidak munasabah kerana sesi pengenalan calon hanya sebagai acara rasmi untuk memperkenalkan diri kepada perwakilan.
Oleh yang demikian, Mohd Isa berharap pucuk pimpinan parti dapat melihat semula peraturan tersebut sama ada ia baik untuk Umno, supaya perkara sama tidak berulang di masa akan datang.
"Pada saya peraturan perlu ada, cuma ia terlalu rigid dan perkara itu sepatutnya diberi perhatian selepas pemilihan ini.
"Cuma untuk sekarang ini kita tidak pasti sama ada sempat diubah atau pun tidak, terpulanglah kepada Majlis Tertinggi Umno, jawatankuasa disiplin hanya melaksanakan apa yang sudah diputuskan," katanya.
No comments:
Post a Comment