Saturday, October 12, 2013

Polis, JPAM Besut Bersiap Sedia Hadapi Banjir


Musim tengkujuh semakin hampir mengulangi suasana pada setiap penghujung tahun dengan hujan tidak berhenti berhari-hari

Natijahnya boleh membawa kepada banjir dan sering kali bukan sahaja merosakkan harta benda malah meragut nyawa.

Ini musimnya juga, semua agensi penyelamat diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga, mengatur persiapan bersama bagi meningkatkan keupayaan bertindak pentas dan berkesan dalam keadaan-keadaan yang mendesak dan memerlukan bantuan.

Keadaan itu sudah tentu memerlukan setiap anggota memiliki kekuatan mental dan fizikal supaya mereka dapat memberikan khidmat yang baik kepada mangsa-mangsa banjir dan pada masa yang sama, diri tidak terdedah dengan bahaya.

Mereka perlu sentiasa bersiap sedia dengan pengetahuan dan peralatan yang sesuai supaya mangsa dapat bukan sahaja dapat dipindahkan atau diselamatkan sebaik sahaja mendapat arahan atau menerima maklumat.

Besut dan Setiu merupakan daerah yang kerap dilanda banjir di negeri ini, sehubungan itu Balai Bomba dan Penyelamat Besut telah mengadakan Latihan Menyelamat Di Air yang turut melibatkan anggota dari Setiu serta anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Polis Besut.

Latihan yang meliputi teknik asas menyelamat di air, berenang , teknik apungan diri, menyelamat mangsa menggunakan tali dan pelampung serta pengendalian bot diadakan di Empangan Jajar, Hulu Besut dekat Jerteh baru-baru ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Besut, Hasmadi Jusoh berkata, latihan itu membabitkan 51 anggota iaitu 12 anggota Balai Bomba Besut, Balai Bomba Jertih (11), Balai Bomba Setiu (6), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut (5) dan 17 anggota JPAM serta tujuh buah bot.

Selain menjalin kerjasama antara pasukan penyelamat di daerah ini di samping gerakan bersepadu, latihan tersebut juga memberi pendedahan kepada anggota cara mengendalikan bot, menyelamatkan mangsa dan keyakinan diri ketika bertugas.

Menurutnya, latihan seumpama itu amat penting kerana meliputi pelbagai aspek keselamatan anggota dan juga orang awam yang perlu dipatuhi lebih-lebih lagi apabila menghadapi situasi sebenar contohnya banjir. 

"Ini merupakan kali ketiga Balai Bomba Besut mengambil inisiatif mengadakan latihan semata-mata bagi memastikan setiap anggota yang terlibat dapat menjalankan tugas dengan cekap.

"Menerusi latihan yang diberikan, anggota akan lebih bersedia dan lebih yakin untuk menghadapi sebarang suasana cemas yang terpaksa dihadapi kelak, bukan sahaja di air tetapi juga di daratan seperti di jalan raya dan kebakaran," ujarnya.

Tambahnya, pada masa yang sama penyertaan daripada semua agensi penyelamat itu akan dapat menjalin kerjasama yang boleh membantu semua pihak menjalankan tugas dengan lebih cekap dan cepat.

Mereka yang menyertai latihan itu menyifatkan usaha mengadakan latihan itu menambahkan keyakinan diri mereka apabila menguasai kemahiran dalam operasi menyelamat.

Peserta PDRM, Koperal Abd. Ghani Zahari berkata, penyertaan kali kedua menyertai latihan itu memberikan banyak pendedahan baru dan menambah pengetahuannya dalam ilmu menyelamat mangsa 

Katanya, pengalaman itu akan dimanfaatkan sepenuhnya kerana apa yang diperoleh membantunya lebih bersedia untuk memberikan khidmat apabila diperlukan terutama semasa banjir dan juga situasi cemas di mana-mana.

Anggota JPAM, Jasfiza Asyikin Awang berkata, setiap kali bertugas mereka juga terdedah kepada bahaya dan jika tiada pengalaman sudah pasti anggota penyelamat bakal berdepan dengan keadaan sukar.

"Sebagai anggota JPAM, latihan ini akan memudahkan kami menjalankan tugas tanpa kekok dan lebih yakin lagi ditambah dengan kerjasama rakan-rakan lain daripada pelbagai agensi, operasi menyelamat akan dapat dijalankan dengan kemas.

No comments:

Post a Comment