Saturday, October 12, 2013

Program Fulbright ETA Ubah Kehidupan Peserta - John Kerry

Setiausaha Negara Amerika Syarikat John Kerry berkata semalam Program Pembantu Guru Bahasa Inggeris (ETA) Fulbright telah mengubah kehidupan pesertanya bukan hanya melalui bahasa, tetapi juga daripada segi pandangan.

"Ia memupuk keyakinan serta mengubah kemungkinan hidup itu sendiri," katanya dalam ucapannya kepada ETA, pelajar mereka dan mentor dalam satu mesyuarat semalam.

Kerry berada di Kuala Lumpur untuk menghadiri Sidang Kemuncak Keusahawanan 2013 yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Beliau memberi satu contoh bahawa, pada mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Bali baru-baru ini, kebanyakan daripada pesertanya, terutama dari Asean, bertutur dalam Bahasa Inggeris. "Lima belas hingga 20 tahun lalu, itu tidak akan terjadi.

Kini, Bahasa Inggeris telah menjadi bahasa perniagaan, pertukaran, kedutaan dan telah membantu dunia dalam banyak cara," katanya.

Program ETA Fulbright menempatkan graduan baharu kolej Amerika sebagai pembantu di dalam kelas Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah dan universiti-universiti di 69 buah negara.

Ia menjadi program peringkat persekutuan di empat negeri selepas satu mesyuarat 2010 di antara Presiden AS Barack Obama dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di mana mereka bercakap tentang cara-cara untuk mengukuhkan hubungan rakyat kedua-dua negara menerusi pembelajaran Bahasa Inggeris. 

Turut hadir pada mesyuarat hari ini adalah tiga ETA, dua daripadanya berkhidmat di Perak sementara seorang lagi di Terengganu, dengan beberapa orang pelajar mereka.

Setiap ETA akan berkhidmat di negara ini selama 10 bulan akademik. Program ini di Malaysia, disokong oleh kedua-dua kerajaan, dijangka menjadi salah satu program ETA Fulbright terbesar dunia pada 2014 apabila ia berkembang daripada 75 ETA sekarang kepada 100 ETA.

No comments:

Post a Comment