Friday, October 25, 2013

Polis Siasat Kes Penyokong Guna Pembesar Suara Ketika Penamaan Calon


Polis sedang menyiasat laporan mengenai penyokong sebuah parti menggunakan pembesar suara ketika penamaan calon pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, kelmarin.

Ketua Jabatan Pengurusan Polis Kedah, Asisten Komisioner Azizi Mat Aris berkata, siasatan berasaskan laporan anggota polis yang bertugas serta rakaman video dan gambar yang menunjukkan individu terbabit menggunakan alat tersebut.

Penggunaan pembesar suara dilarang mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 dan kes disiasat mengikut Sekysen 5 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 jika sabit kesalahan, katanya dalam sidang media, di Yan, semalam.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan penyokong dan parti politik yang bertanding dalam PRK tersebut supaya berkempen secara berhemah dan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

"Saya mohon supaya para penyokong politik tidak menimbulkan provokasi, mengganggu ketenteraman awam serta tidak memasang bendera parti yang boleh menghalang dan mengganggu pejalan kaki dan pengguna jalan raya," katanya.

Azizi berkata, setakat semalam, sebanyak 10 ceramah telah diadakan. PRK DUN Sungai Limau menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Dr Ahmad Sohaimi Lazim dan calon PAS Mohd Azam Abd Samat. Hari pengundian ditetapkan 4 November ini.

No comments:

Post a Comment