Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu (PPNT) terpaksa mengambil pekerja warga Indonesia bagi mengatasi masalah kekurangan pekerja di ladang kelapa sawit kawasan.
Pengurus Besar PPNT Sawalludin Ahmad berkata langkah berkenaan diambil bagi mengatasi masalah kerugian yang dialami oleh sesetengah pertubuhan peladang kawasan (PPK) setelah hasil tanaman tidak diambil.
"Sebagai contoh, PPK Bukit Diman di Hulu Terengganu mengalami kerugian kira-kira RM16,000 pada Jun lepas setelah tidak boleh mencapai pengeluaran yang ditetapkan.
"Sepatutnya PPK itu boleh mengeluarkan 60 tan metrik tetapi cuma dapat mengeluarkan 20 tan metrik sebulan pada bulan berkenaan kerana kekurangan pekerja," katanya di Kuala Terengganu, kelmarin.
Beliau berkata harga kelapa sawit semasa adalah sekitar RM400 satu metrik tan
Sawalludin berkata bagi mengatasi masalah itu, PPNT telah memohon kepada Kementerian Dalam Negeri untuk mengambil 50 tenaga kerja asing untuk bekerja di ladang sawit PPK di negeri ini tetapi cuma 22 orang sahaja yang diluluskan pada peringkat permulaan.
"Kami harap dengan adanya tenaga pekerja asing ini, hasil pengeluaran PPK di negeri ini akan mencapai sasaran," katanya.
Sawalludin berkata PPK yang menggunakan khidmat pekerja asing ini termasuk Bukit Diman, Pelam, Maras/Batu Rakit, Kuala Berang, Dungun dan Jerangau.
Kawasan yang diusahakan oleh PPK berkenaan dianggarkan melebihi 1,000 hektar yang sebelum ini menggunakan tenaga kerja tempatan.
No comments:
Post a Comment