Friday, October 11, 2013

27,956 Pendatang Tanpa Izin Ditahan Sepanjang Jan-Ogos Tahun Ini

Seramai 27,956 pendatang tanpa izin ditahan dalam tempoh Januari hingga Ogos lepas, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Daripada jumlah itu, seramai 18,871 ialah lelaki dan bakinya wanita. "Mereka akan dihantar pulang mengikut program 6P (program pemutihan) yang sedang dilaksanakan...program ini akan ditamatkan selepas selesai proses pemutihan warga asing berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Chiew Lian Keng yang bertanya statistik terbaharu pendatang tanpa izin yang ditangkap pada 2013 dan kawasan tahanan yang diwujudkan untuk operasi itu. Wan Junaidi berkata sebanyak 12 Depot Tahanan Imigresen telah ditubuhkan di seluruh negara bagi menempatkan pendatang tanpa izin yang ditahan.

Antaranya Depot Tahanan Imigresen di Bukit Jalil, Selangor; Juru, Kedah; Langkap, Perak; Semenyih, Selangor; KLIA, Sepang, Selangor; Lenggeng, Negeri Sembilan; Machap Umboo, Melaka; Pekan Nanas, Johor; Ajil, Terengganu; Tanah Merah, Kelantan; Semuja dan Bekenu, Sarawak.

No comments:

Post a Comment