Saturday, October 26, 2013

RM41.1 Bilion Tambah Baik Infrastruktur, UTC Untuk Terengganu


Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM41.1 bilion bagi memperkukuh, menambah baik infrastruktur asas serta meningkatkan taraf hidup rakyat di luar bandar.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ia merangkumi kerja membaik pulih dan menaik taraf 437 jaringan jalan luar bandar di seluruh negara dan pembinaan projek Lebuhraya Pan Borneo, masing-masing berjumlah RM980 juta dan RM500 juta.

Beliau berkata peruntukan itu turut merangkumi pelaksanaan program bekalan air bersih dan terawat kepada 8,000 unit rumah di luar bandar, membekal tangki air di Sarawak serta program bekalan tenaga elektrik 24 jam kepada lebih 16,000 rumah di seluruh negara.

Perdana Menteri berkata Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang kini hanya beroperasi di Semenanjung dan Sarawak, akan turut dibuka di Sabah akhir tahun ini selain menambah empat lagi UTC di Johor, Terengganu dan Perlis. Sebelum ini, UTC yang merupakan pusat sehenti bagi pelbagai perkhidmatan, beroperasi di Kuala Lumpur, Melaka, Pahang, Perak, Sarawak dan Kedah.

"Bagi mengatasi gangguan bekalan elektrik di Sabah, sebanyak RM265 juta disediakan selain RM179 juta untuk membina dan membaik pulih sebanyak 20,000 unit rumah rakyat miskin di kawasan luar bandar," katanya ketika membentangkan Bajet 2014 bertema 'Memperteguh Ketahanan Ekonomi, Memperkasa Transformasi dan Melaksana Janji" di Dewan Rakyat semalam.

Belanjawan itu turut memperuntuk RM20 juta untuk program 'Rural Business Challenge' bertujuan menggalakkan penyertaan penduduk luar bandar dalam bidang keusahawan serta RM109 juta bagi membangunkan masyarakat Orang Asli.

Najib berkata kerajaan juga akan meneruskan projek Rancangan Tebatan Banjir antaranya di Sungai Muda Kedah; Lembangan Sungai Muar, Johor; Sungai Bunus, Kuala Lumpur dan Bandar Pekan, Pahang melalui peruntukan sebanyak RM659 juta manakala RM79 juta turut disediakan bagi kerja mengorek dan mendalam kuala-kuala sungai.

Bagi mengatasi masalah Bumiputera Sabah dan Sarawak dalam proses pemilikan tanah adat, katanya sebanyak RM50 juta diperuntuk bagi kerja pengukuran dan pengesahan hak pemilikan tanah adat bagi golongan itu.

Sementara itu, Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata sebanyak RM278 juta disediakan bagi melaksanakan program di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang antara lain melibatkan penambahan tiga Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Sabah, Sarawak dan Negeri Sembilan, tambahan kepada lima RTC sedia ada iaitu di Perak, Kelantan, Melaka, Pahang dan Johor.

Beliau berkata Pusat Tranformasi Komuniti Bergerak (Mobile CTC) yang menumpukan penyaluran perkhidmatan kepada masyarakat yang tinggal jauh dari UTC dan RTC, juga akan terus dilaksana dengan menambah bilangan bas serta van yang diubah suai.

Perkhidmatan utama yang disediakan meliputi pendaftaran MyKad, memperbaharui lesen memandu, pemeriksaan kesihatan dan khidmat nasihat perniagaan.

Najib berkata Bajet 2014 turut mengambil kira kepentingan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU), karyawan dan masyarakat India dengan memperuntuk sejumlah RM597 juta.

Peruntukan itu meliputi RM441 juta bagi pembangunan dan kebajikan OKU, RM6 juta bagi pengurusan pentadbiran dan pengendalian persatuan-persatuan karyawan yang berdaftar dan RM50 juta untuk Skim Pembiayaan Usahawan Muda India di bawah Tekun.

"Bagi pembangunan masyarakat India, kerajaan bersetuju menyediakan peruntukan RM100 juta untuk meningkatkan pencapaian pelajaran dan latihan kemahiran. Ini termasuk RM28 juta bagi program pendidikan awal melibatkan 176 pra-sekolah Tamil dan program i-Sinar," katanya.

No comments:

Post a Comment