Saturday, October 26, 2013

Bonus Setengah Bulan Gaji, BR1M Dinaikkan Kepada RM300 dan RM650


Kira-kira 1.4 juta penjawat awam akan menerima bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500, demikian diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata bagi meringankan lagi beban golongan pesara, kerajaan juga akan memberi Bayaran Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM250.

"Bayaran bonus dan bantuan khas kewangan ini akan dibayar pada awal Januari 2014," katanya ketika membentangkan Bajet 2014 di Dewan Rakyat semalam.

Sementara itu, pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah akan dinaikkan daripada RM500 kepada RM650, manakala bagi individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan, nilai bantuan akan dinaikkan daripada RM250 kepada RM300.

Sebagai tambahan, buat pertama kalinya BR1M 3.0 akan diperluaskan kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 dengan nilai bantuan sebanyak RM450.

Pada Ogos lepas, sebagai persiapan Hari Raya, Bayaran Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 dan RM250, masing-masing telah dibayar kepada penjawat awam dan pesara.

Bayaran bantuan khas kepada penjawat awam itu adalah untuk Gred 1 hingga Gred 54.

Bagi menghargai sumbangan penjawat awam yang menjadi tulang belakang pembangunan negara, Najib berkata kerajaan juga bersetuju menambah baik sebanyak 81 skim perkhidmatan daripada pelbagai peringkat mulai November ini.

Perdana Menteri berkata pada Julai lepas, kerajaan telah memberi tambahan satu kenaikan gaji tahunan (KGT) melibatkan peruntukan sebanyak RM1.6 bilion.

Di samping itu, katanya kerajaan juga telah memberi tambahan tiga KGT kepada gaji maksimum bagi semua kumpulan perkhidmatan dan telah memanfaatkan 182,434 penjawat awam yang berada pada paras gaji maksimum.

Mengenai BR1M 3.0, Najib berkata pemberian ini adalah berdasarkan kepada kenaikan kos sara hidup yang perlu ditanggung oleh golongan berpendapatan sederhana rendah.

Najib mencadangkan caruman Insuran Takaful Berkelompok Rakyat 1Malaysia atau i-BR1M bernilai RM50 diberi kepada semua penerima isi rumah BR1M bagi memberi perlindungan maksimum sehingga RM30,000 kepada penerima BR1M sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya kekal.

"Pendek kata, secara keseluruhannya, penerima BR1M dari kalangan isi rumah berpendapatan bulanan tidak melebihi RM3,000 akan menikmati bantuan sebanyak RM700," katanya.

NaJib berkata bagi isi rumah berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 yang menerima bantuan BR1M sebanyak RM450, juga akan menerima caruman i-BR1M bernilai RM50 yang menjadikan jumlah keseluruhan BR1M sebanyak RM500.

Bagi melaksanakan kesemua pakej BR1M 2014 ini, kerajaan akan memperuntuk sejumlah RM4.6 bilion yang dijangka dapat memanfaatkan sebanyak 7.9 juta penerima.

BR1M mula diperkenal pada 2012, yang memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah, dengan memberi bantuan tunai sebanyak RM500 kepada ketua isi rumah berpendapatan RM3,000 dan ke bawah. 

Pada tahun lepas, BRIM 2.0 diteruskan dan diperluaskan kepada individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan.

Pemberian bantuan kepada individu bujang ini sebanyak RM250.

No comments:

Post a Comment