Friday, October 18, 2013

RTC Akan Diperluas Ke Terengganu, Kedah - Shafie

RTC Kelantan yang berjaya menarik 400,000 pegunjung.
Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) berkeyakinan pembukaan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Kulaijaya hujung tahun ini mampu meningkatkan pembangunan masyarakat sekali gus memacu pembangunan negeri Johor.

Menterinya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kawasan seluas 2.4 hektar dengan kos pembinaan RM7.2 juta itu mampu memenuhi tuntutan penduduk terutama golongan belia luar bandar yang memerlukan bimbingan dalam mencari pekerjaan dan latihan dalam bidang keusahawanan.

"Setelah meninjau sekian lama, kita yakin tapak ini amat bersesuaian walaupun keluasannya agak terbatas. Yang penting ia mampu mencapai matlamat untuk menjadi pangkalan kepada penduduk sekitar," katanya kepada pemberita selepas meninjau tapak RTC Kulaijaya, semalam.



Mohd Shafie berkata selain menyediakan perkhidmatan agensi kerajaan, institusi kewangan, bimbingan keusahawanan serta kursus, beliau yakin pusat itu turut mampu membantu usahawan yang berkecimpung dalam bidang pertanian memasarkan hasil mereka sehingga ke luar negara.

Beliau berkata pihaknya turut berharap pusat itu kelak mampu menyaingi RTC Perak, Kelantan, Melaka dan Pahang yang sudah menarik hampir 400,000 pengunjung.

Beliau berkata selepas Johor, RTC akan diperluaskan ke Terengganu, Kedah, Sabah dan Sarawak.

No comments:

Post a Comment