Tuesday, October 22, 2013
Tasik Kenyir Bakal Terima Pelaburan Bernilai RM800 Juta Tahun Depan
Tasik Kenyir yang terletak di Hulu Terengganu, bakal menerima pelaburan dari China bernilai RM800 juta tahun depan, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.
Tasik buatan manusia yang terbesar di Asia Tenggara itu kini sedang rancak dibangunkan kerajaan negeri sebagai Zon Bebas Cukai (FTZ) yang akan menjadi satu lagi lokasi menarik di negeri ini yang bakal membangun sebagai sebuah destinasi pelancongan terunggul di rantau Asia.
Ahmad Said berkata pelabur dari China itu berminat untuk membangunkan projek pembinaan perumahan, resort dan hotel di Sungai Ketiar, Tasik Kenyir yang terletak di tepi tasik.
"Keindahan alam semula jadi di kawasan itu mempunyai nilai komersil tersendiri yang terus menjadi tumpuan pelabur-pelabur besar dari luar negara dan usaha memajukannya sebagai destinasi pelancongan amat bertepatan dengan projek mega yang dirancang," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan bantuan pendidikan Yayasan Terengganu (YT) kepada 1,623 pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di Kuala Terengganu, semalam.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai pelaburan itu sehingga satu memorandum persefahaman (MoU) dibuat dalam masa terdekat ini. Tasik seluas 65,417 hektar itu bakal memiliki Kompleks Bebas Cukai dan Kompleks Kastam di Pulau Bayas, selain pembinaan rangkaian gedung terkemuka yang akan menjual barangan berkualiti berkonsepkan Factory Outlet.
Selain FTZ, Ahmad turut mencetuskan idea membabitkan pembangunan 10 taman dalam tiga fasa bermula 2008 hingga 2015 antaranya pembinaan Taman Burung, Taman Tropika, Taman Orkid, Taman Rama-Rama, Taman Botani, Taman Rambutan dan Taman Helicornia, Taman Eko, Taman Kaktus dan Taman Anggur.
"Dengan pelbagai elemen semula jadi, Tasik Kenyir adalah aset pelancongan Terengganu yang masih segar dan belum diterokai sepenuhnya menjadikan ia sebagai destinasi tumpuan pelabur ketika ini.
"Kerajaan negeri pula sedia memberi kerjasama dalam gandingan strategik bersama pelabur jika ia mampu menjana ekonomi negeri dan membawa limpahan rahmat kepada penduduk tempatan," katanya.
No comments:
Post a Comment