Tuesday, October 22, 2013

Mahkamah Terus Dengar Rayuan Petisyen PRU13

Mahkamah Persekutuan di Putrajaya semalam meneruskan pendengaran rayuan dalam petisyen pilihan raya membabitkan tiga kawasan Parlimen dan empat Dewan Undangan Negeri (Dun) di Kelantan dan Perak berhubung keputusan pilihan raya di kesemua kawasan itu pada PRU13.

Panel lima anggota diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria mendengar rayuan itu selepas menolak bantahan awal yang dikemukakan Anggota Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa dan Anggota Parlimen Machang Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Peguam mereka Datuk Hafarizam Harun membangkitkan bantahan awal dalam usaha mengetepikan rayuan itu yang difailkan calon PKR Ab. Aziz Ab. Kadir dan Wan Zawawi Wan Ismail, masing-masing kalah kepada Annuar dan Ahmad Jazlan di Parlimen Ketereh serta Machang dalam pilihan raya umum lepas.

Hafarizam berhujah bahawa rayuan yang dikemukakan oleh dua calon daripada PKR itu tidak boleh bertahan disebabkan peguam mereka bukanlah peguambela yang mewakili mereka di Mahkamah Pilihan Raya dan oleh itu tidak mempunyai kuasa untuk mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

"Kami memutuskan bahawa bantahan awal ini tidak boleh diterima," kata Arifin dalam keputusan sebulat suara yang menolak bantahan awal itu.

Arifin bersidang dalam panel itu bersama-sama Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dan tiga hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Ahmad Maarop serta Datuk Hasan Lah.

Rayuan itu membabitkan petisyen pilihan raya bagi kerusi Parlimen Ketereh, Machang dan Bachok di Kelantan serta empat kerusi Dun iaitu Jelawat di Kelantan dan Pasir Panjang, Manong serta Rungkup di Perak.

Rayuan bagi kawasan pilihan raya Ketereh, Machang, Pasir Panjang, Rungkup dan Manong difailkan PKR serta PAS manakala rayuan bagi kawasan pilihan raya Bachok dan Jelawat difailkan Barisan Nasional. 

Kesemua petisyen pilihan raya itu diketepikan oleh Mahkamah Pilihan Raya dengan kos berkaitan bantahan awal yang tidak mematuhi Perintah 9 dan Perintah 34 Peraturan-peraturan Petisyen Pilihan Raya 1954. 

Pihak perayu mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan supaya petisyen pilihan raya mereka dikembalikan dan diremit semula ke Mahkamah Pilihan Raya untuk diputuskan berdasarkan merit melalui perbicaraan penuh.

Dalam rayuan itu, peguam G.K. Ganesan yang mewakili calon Pas Jamil Dzulkarnain yang kalah kepada wakil rakyat BN Mohamad Kamil Shafie bagi kerusi Dun Manong berhujah tentang isu locus standi peguambela mewakili pempetisyen dalam petisyen pilihan raya itu berdasarkan Perintah 9 dan Perintah 34 Peraturan-peraturan Petisyen Pilihan Raya 1954.

Perbicaraan bersambung Jumaat ini.

No comments:

Post a Comment