Thursday, October 24, 2013

Tiada Diskriminasi Dalam Pinjaman Tekun

Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) tidak mendiskriminasi mana-mana pihak atau melihat kepada fahaman politik semasa meluluskan permohonan pinjaman.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Tajuddin Abdul Rahman turut menegur wakil rakyat Sim Tze Tzin (PKR-Bayan Baru) untuk tidak membuat tuduhan tidak berasas tentang pinjaman Tekun. "Sebanyak RM104 juta nilai permohonan diluluskan di Pulau Pinang.

Banyak orang di Pulau Pinang yang tidak sokong Umno. Mereka sokong DAP. Kita bagi pinjaman kepada orang DAP.

"Senarai pinjaman ada pada saya, dan tidak ada masalah bagi pinjaman kepada mereka. Tekun tidak diskriminasi. Jangan buat tuduhan tidak berasas.

Inilah perangai wakil DAP. Kita bagi Tekun untuk semua orang," katanya ketika menjawab soalan Sim di Dewan Rakyat semalam.

Sim ingin tahu apakah antara prosedur untuk mendapatkan pinjaman Tekun, perlu mendapat sokongan atau tandatangan Ketua Bahagian Umno.

Menjawab soalan Er Teck Hwa (DAP-Bakri), Tajuddin berkata sejak tahun 2008 hingga 2013, Tekun telah menerima permohonan pinjaman sebanyak 225,024 permohonan pinjaman dengan nilai permohonan sebanyak RM2.35 bilion.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 213,082 permohonan pinjaman telah diluluskan dengan jumlah RM2.0 bilion.

"Terdapat 5,393 permohonan pinjaman yang telah ditolak dengan nilai permohonan RM135 juta manakala terdapat 6,549 permohonan pinjaman yang sedang diproses dengan nilai RM128 juta," katanya.

Bagi kawasan Parlimen Bakri, untuk tempoh yang sama, sejumlah 903 permohonan telah diluluskan dengan nilai pinjaman sebanyak RM8.66 juta, manakala 17 permohonan masih dalam proses dan 25 permohonan telah ditolak.

No comments:

Post a Comment