Thursday, October 24, 2013

SPR Kecewa Penyokong Calon Tidak Patuh Peraturan

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata beliau kecewa dengan tindakan sesetengah penyokong calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Sungai Limau kerana tidak mematuhi peraturan berkempen pada hari penamaan calon di Yan, semalam.

Tanpa menamakan penyokong parti terbabit yang melanggar peraturan itu, beliau berkata terdapat penyokong calon terbabit membuat bising serta menggunakan pembesar suara.

Abdul Aziz berkata demikian kepada pemberita selepas proses penamaan calon untuk PRK Dun Sungai Limau di Dewan Dato' Madi semalam yang menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Dr Ahmad Sohaimi Lazim, 52, dan calon Pas Mohd Azam Abd Samat, 37.

Beliau berkata SPR telah beberapa kali memaklumkan kepada parti-parti yang bertanding berhubung peraturan berkempen yang termaktub dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya, tetapi hari ini ada beberapa pihak yang melanggar peraturan itu.

Seksyen 24A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 turut melarang penggunaan alat pembesar suara untuk tujuan politik dengan apa jua cara atau digunakan di dalam atau di atas sebarang kenderaan danbinatang pada hari penamaan calon.

Mereka yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali, katanya.

Abdul Aziz turut menasihati calon BN dan Pas yang bertanding pada PRK kali ini supaya sentiasa menghormati peraturan undang-undang yang ditetapkan serta berkempen secara berhemah dan tidak memburuk-burukkan pihak lain.


No comments:

Post a Comment