Saturday, October 12, 2013

Tiada Orang Kenamaan Terlibat Kongsi Gelap

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Hadi Ho Abdullah hari ini menafikan dakwaan kononnya terdapat penglibatan orang kenamaan dalam aktiviti kongsi gelap.

Katanya siasatan terperinci pasukan keselamatan mendapati tiada sebarang penglibatan orang kenamaan dalam mana-mana pertubuhan kongsi gelap di negara ini.

"Kedua-dua VIP (orang penting/kenamaan) atau VVIP (orang kehormat) tidak terlibat dalam sebarang pertubuhan kongsi gelap di negara ini, setakat ini... sekiranya ada bukti menunjukkan penglibatan mereka dalam pertubuhan haram ini, maka tindakan tegas akan diambil terhadap mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan sidang media bersama Persatuan Malaysia Hindu Sangam di Bukit Aman di Kuala Lumpur, semalam.

Hadi Ho juga berkata segelintir pertubuhan seperti Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah SeMalaysia (Pekida) merupakan pertubuhan sah di sisi undang-undang dan bukan kumpulan samseng.

Dalam perkembangan lain, Hadi Ho berkata Ops Cantas Khas menunjukkan perkembangan positif dalam membanteras jenayah berkaitan kumpulan kongsi gelap dan operasi itu akan terus dijalankan dari semasa ke semasa bagi mengekang jenayah.

No comments:

Post a Comment