Dua calon yang bertanding masing-masing bagi jawatan Naib Ketua Pemuda dan Ketua Wanita Bahagian menghantar surat bantahan kepada Jawatankuasa Pemilihan Umno (JPU) bagi menyuarakan tidak puas hati berhubung keputusan yang diumumkan kelmarin.
Surat bantahan itu dihantar oleh wakil calon Naib Ketua Pemuda Umno pusat Khairul Azwan Harun dan calon Ketua Wanita Bahagian Gopeng Datuk Hamidah Osman.
Wakil calon yang juga pencadang Khairul Azwan, Mohamad Annuar Ariffin berkata beliau menyerahkan surat bantahan itu kepada Pengerusi JPU Tan Sri Tajol Rosli Ghazali kira-kira pukul 5 petang.
Katanya keputusan seri 73 undi yang diumumkan antara Khairul Azwan dan seorang lagi calon, Jamawi Jaafar tidak relevan kerana mereka mendapati undian yang diperoleh Khairul Azwan sebelum pengumuman dibuat adalah lebih daripada jumlah itu.
"Atas sebab itulah kami menghantar surat bantahan ini kerana berdasarkan kepada laporan 'War Room' Khairul, beliau mempunyai lebih daripada 73 undi berbanding yang diumumkan JPU, dan kami punya bukti berdasarkan wakil calon di bahagian yang dimenanginya," katanya dalam sidang media, semalam.
Mohammad Annuar berkata mereka memohon JPU supaya meneliti surat yang dikemukakan mereka dan tidak mengguna pakai keputusan seri yang diumumkan.
Beliau berkata pihaknya tidak bersetuju dengan keputusan seri yang akan membawa kepada pengiraan undi popular.
"Ia tidak adil kepada Khairul sekiranya kemenangan ditentukan berdasarkan undi popular... Ini bukan soal yakin tidak yakin (undi popular), ini adalah soal yang kami sudah ada majoriti," jelasnya.
Semalam, Tajol Rosli berkata keputusan siapa Naib Ketua Pemuda Umno pusat akan diumumkan selepas Aidiladha berdasarkan kiraan undi popular berikutan dua calon teratas jawatan itu memperoleh undi seri, masing-masing 73 undi daripada 190 bahagian.
Sementara itu, Hamidah yang turut menghantar surat bantahan kepada JPU hari ini berkata pihaknya mendapati wujudnya kertas undian lebih daripada jumlah perwakilan yang hadir mengundi pada hari pengundian dua hari lepas.
"Jumlah perwakilan bahagian yang hadir pada hari itu iaitu 315 orang, namun selepas diumumkan keputusan didapati jumlah keseluruhan kertas undian termasuk undi rosak sebanyak 328 keping menyebabkan lebihan sebanyak 13 undian," katanya.
Beliau juga mendakwa ketika pengiraan undi dibuat, peti undinya didapati dibiarkan disimpan selama lima jam iaitu dua jam di bilik undi dan tiga jam di pusat pengiraan tanpa ada wakil calon di dalam bilik itu.
"Kami dihalau keluar setelah peti undi itu diletakkan di kedua-dua bilik berkenaan dan hanya ada pemerhati sahaja yang dibenarkan berada di dalamnya.
"Ia tidak adil kerana sepatutnya ada wakil calon berada di dalam bilik, oleh itu saya amat terkejut dengan keputusan kalah itu dan saya minta JPU menyemak semula keputusan itu," katanya.
No comments:
Post a Comment