Wednesday, November 6, 2013

100 Pelajar Sertai Kem Imam Muda Maidam

Seramai 100 pelajar lelaki tingkatan tiga dari 10 Sekolah Menengah Agama di seluruh Terengganu menyertai Kem Imam Muda anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), bertujuan melahirkan pelajar yang mahir dalam pendidikan Islam.

Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan Maidam, Yusof Salleh berkata antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program tujuh hari bermula 2 Nov lepas itu, ialah pengurusan jenazah, bacaan ketika khutbah Jumaat dan menghafal surah serta wirid dalam solat.

"Pelajar dibimbing tenaga pengajar terdiri daripada pegawai jabatan agama dan guru agama yang sudah dilantik," katanya ketika ditemui pemberita di Kuala Terengganu, semalam.

Program yang dianjurkan buat kali kesembilan itu turut akan memberi pendedahan serupa kepada pelajar perempuan melalui Kem Imamah Muda. Yusof berkata, antara modul pembelajaran yang didedahkan kepada peserta dalam kem tersebut ialah melalui teori, praktikal dan Latihan Dalam Kumpulan (LDK) yang memerlukan peserta berkomunikasi dan berinteraksi dengan bijak sebagai latihan asas berdepan masyarakat pada masa depan.

"Bagi kem Imamah muda, ia akan bermula selepas tamat kem imam muda iaitu pada 8 hingga 13 Nov depan yang akan melibatkan 100 pelajar perempuan dari 10 sekolah menengah Agama di negeri ini," katanya.

No comments:

Post a Comment