Thursday, November 14, 2013

3 Lelaki Bersenjatakan Pisau, Parang Samun Kedai Serbaneka Di Kemaman

Sekumpulan tiga lelaki bersenjatakan pisau pemotong daging dan parang menyamun sebuah kedai serbaneka di Geliga di Kemaman awal hari semalam.

Ketiga-tiga lelaki bertopeng itu memasuki kedai berkenaan pada pukul 3.45 pagi ketika dua pekerja, seorang lelaki dan seorang wanita, berada berhampiran kaunter kedai itu.

"Suspek mengacukan parang dan pisau pada leher mangsa dan meminta pekerja kedai itu memasukkan wang lebih RM2,000 dan rokok ke dalam beg sandang yang dibawa mereka,” kata Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Che Suza Che Hitam.

Che Suza berkata, kumpulan lelaki terbabit turut mengambil sebuah mesin wang dan telefon bimbit sebelum melarikan diri dengan sebuah kenderaan, dipercayai jenis Honda CRV.

Che Suza berkata, berdasarkan loghat yang digunakan kumpulan lelaki terbabit, polis percaya mereka adalah penduduk tempatan dan berdasarkan keterangan dua pekerja kedai serbaneka itu, polis menganggarkan ketiga-tiga mereka berumur dalam lingkungan 23 hingga 25 tahun.

Tambah Che Suza, polis kini melancarkan gerakan memburu ketiga-tiga lelaki terbabit dan akan melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari kedai sebaneka itu.

No comments:

Post a Comment