Pakar pecut negara, Anuar Manan masih tetap optimis terhadap kemampuan skuad berbasikal lebuh raya negara untuk meraih pingat emas sekalipun dia tidak berada dalam pasukan kebangsaan pada temasya Sukan SEA 2013 Myanmar dari 11 hingga 22 Disember ini.
Pelumba kelahiran Terengganu itu berkata, skuad kebangsaan yang akan beraksi pada temasya dwi tahunan itu sepatutnya tidak menghadapi masalah untuk merangkul emas memandangkan standard yang dimiliki pelumba Malaysia jauh lebih berkualiti berbanding pencabar di peringkat Asia Tenggara.
"Cabaran mungkin hadir daripada pasukan Indonesia dan Thailand, tetapi pelumba mereka tidak sebagus kita. Tahap pelumba mereka jauh lebih rendah berbanding atlet berbasikal Malaysia.
Jadi, untuk membawa pulang emas tidak sepatutnya menjadi masalah buat negara," katanya kepada pemberita pada pelancaran logo, imej dan pengumuman Le Tour de Langkawi (LTdL) 2014 yang disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin di Putrajaya, semalam.
Ketika ditanya mengenai namanya yang tidak berada dalam skuad kebangsaan yang akan ke Myanmar, Anuar memberitahu, sekalipun dia berasa sedikit terkilan, namun dia tetap menghormati keputusan yang telah dibuat oleh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) itu.
Sementara itu, Timbalan Presiden PKBM, Datuk Naim Mohamad ketika ditanya mengenai ketiadaan nama Anuar dalam skuad kebangsaan ke Myanmar menjelaskan, keputusan itu dibuat bukan disebabkan Anuar tidak layak untuk ke temasya tersebut, tetapi pemilihan pelumba dibuat mengikut kesesuaian faktor muka bumi perlumbaan di Myanmar.
"Kita dah kaji keadaan lebuh raya di sana. Daripada kajian tersebut kita dapati Anuar tidak sesuai untuk berlumba di Myanmar kerana kita memerlukan pelumba yang serba boleh.
Bayangkan di peringkat awal sahaja sudah ada cabaran berbukit, jadi kita memilih mengikut kesesuaian pelumba kerana kita mahukan pingat emas itu sahaja," tegasnya.
Dalam pada itu, Naim turut menegur sikap segelintir negara penganjur Sukan SEA yang tidak mempedulikan kualiti acara-acara yang dipertandingkan hanya semata-mata untuk meraih pingat emas yang banyak.
No comments:
Post a Comment