Saturday, November 9, 2013

40,000 Kanak-Kanak Disasar Khatam al-Quran Tahun Depan

 
Yayasan Islam Terengganu (YIT) menyasar untuk melahirkan seramai 40,000 kanak-kanak yang khatam al-Quran dalam program Pintar al-Quran, pada tahun depan.

Pengarah YIT, Md Kamarul Al-Amin Ismail berkata seramai 35,000 termasuk 24,000 kanak-kanak prasekolah berjaya mengkhatam al-Quran menerusi program tersebut, pada tahun ini.

"Program pintar al-Quran ini bukan sahaja bertujuan melahirkan kanak-kanak celik al-Quran malah merupakan usaha ke arah melahirkan insan pewaris yang memiliki gedung ilmu," katanya selepas majlis Khatam Program Pintar al-Quran 2013 di Kuala Terengganu kelmarin.



Ia dirasmikan Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu Mohd Zubir Embong mewakili Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.

Pada majlis itu, seramai 232 kanak-kanak Tadika YIT bukan sahaja berjaya menghafaz Surah Yasin tetapi mampu menterjemah ayat suci itu sepenuhnya dengan lancar.

Sehingga kini seramai 10,805 kanak-kanak Tadika seluruh Terengganu yang diterajui Yayasan Islam Terengganu (YIT) telah khatam al-Quran.

Mereka terdiri daripada 4,540 dari Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, 3,675 dari Jabatan Kemajuan Masyakat (Kemas), YIT (2,252) dan Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional (338).

No comments:

Post a Comment