Saturday, November 9, 2013

Jemaah Haji Tiba Di Kuala Terengganu Disyaki Jangkiti Virus MERS-CoV

Sebahagian jemaah haji selamat tiba terpaksa memakai topeng muka bagi mengelakkan berjangkit wabak Mers-Cov di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Gong Badak, Kuala Terengganu. 
Seorang jemaah haji yang tiba di Kuala Terengganu dengan penerbangan terus Jeddah-Kuala Terengganu pagi semalam, disyaki dijangkiti virus ‘Middle East Respiratory Syndrom Coronavirus’ (MERS-CoV).

Minah Yusof, 99, dari Kampung Sura, Dungun, tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) bersama 275 jemaah lain pada jam 11.30 pagi dan menjalani pemeriksaan saringan kesihatan, batuk dan selesema. 

Difahamkan, Minah menghidap jangkitan paru-paru ketika berada di Makkah.
Timbalan Pengarah Tabung Haji (TH) Terengganu, Azillah Itam, berkata saringan di LTSM mendapati Minah menghidap batuk dan mengalami kesukaran bernafas.

“Kita belum dapat memastikan beliau positif MERS-CoV atau sebaliknya kerana pemeriksaan masih dijalankan. “Seorang lagi jemaah wanita turut dikesan mempunyai sindrom jangkitan virus MERS-CoV tetapi pemeriksaan lanjut mendapati beliau bebas daripada jangkitan,” katanya di Kuala Terengganu semalam. 

Azillah berkata, jemaah haji yang pulang dari Makkah diwajibkan menjalani ujian saringan kesihatan sejak 2009 bagi memastikan mereka bebas daripada wabak atau penyakit bawaan dari negara luar.

Anak Minah, Mohamed Muda, 67, berkata ibunya sihat sebelum berangkat menunaikan haji. “Pihak TH menghubungi saya sebelum ibu pulang ke tanah air dan memaklumkan ibu kurang sihat serta badannya terpaksa dimasukkan air kerana terlalu panas.

“Saya sangkakan ia perkara biasa kerana faktor usia lanjut tetapi agak bimbang apabila dihubungi buat kali kedua dan ibu disyaki dijangkiti virus ini,” katanya ketika dihubungi. MERS-CoV adalah virus daripada kumpulan Coronavirus dan mula dilaporkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada September lalu.

 Setakat 1 November lalu, ia menyebabkan 63 kematian daripada 149 kes yang dilaporkan di seluruh dunia.

BH Online

No comments:

Post a Comment