Friday, November 22, 2013

Bekas Anggota MPP IPTA Terima Ugutan Jenayah

Seorang penuntut di sebuah institusi pendidikan tinggi awam di Kuala Terengganu, membuat laporan polis selepas menerima ugutan termasuk bungkusan berbentuk mayat yang diletak di dalam raga motosikalnya semalam.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu ACP K Manoharan, mangsa yang juga bekas anggota Majlis Perwakilan Pelajar mendakwa menerima nota bertulis "tarik balik calon lue!!! Kalau tidak!... bersama-sama bungkusan itu.

Mangsa yang berusia 21 tahun itu menyedari tentang ugutan tersebut selepas menerima khidmat pesanan ringkas daripada seorang rakan yang ternampak bungkusan berkenaan kira-kira 2.25 pagi, katanya kepada pemberita, di Kuala Terengganu, semalam.

Manoharan berkata mangsa bergegas memeriksa motosikal yang diletak di kawasan parkir asrama dan menemui bungkusan seperti mayat yang turut dilumur warna merah.

Katanya penuntut lelaki itu menganggap perkara berkenaan sebagai mainan politik kotor dan membiarkan bungkusan berkenaan di dalam raga motosikalnya sebelum mendapati bungkusan tersebut lesap pada pukul 6.30 pagi.

Mangsa kemudian membuat laporan polis demi keselamatannya dan polis memandang serius kes itu serta tidak akan berkompromi dengan penjenayah sekalipun pelaku berstatus pelajar, katanya.

No comments:

Post a Comment