Friday, November 22, 2013

Mosti Peruntuk RM78.47 Juta Penyelidikan Di Zon Timur

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) meluluskan 142 projek dengan pembiayaan RM78.47 juta dalam dana pembiayaan Fasa Penyelidikan, Pembangunan dan Pengkomersilan (R, D&C) di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan RMK-10 di Zon Timur.

Menterinya Datuk Dr Ewon Ebin berkata daripada jumlah itu, sebanyak 107 projek dengan pembiayaan RM63.88 juta diluluskan untuk RMK-9 manakala 35 projek diluluskan dalam RMK-10 melibatkan peruntukan RM14.59 juta.

Zon Timur meliputi Terengganu, Pahang dan Kelantan. "Pembiayaan dalam bentuk dana atau geran R,D&C itu bertujuan meningkatkan pertumbuhan dan menyemarakkan budaya inovasi.

"Zon Timur mempunyai potensi untuk menjadi salah satu penyumbang utama dalam bidang sains dan teknologi kerana zon ini kaya dengan sumber alam semulajadi serta flora fauna yang menjadi salah satu lokasi untuk menjalankan program-program Mosti," katanya dalam sidang media selepas sesi dialog bersama penerima dan pemohon dana R,D&C bagi Zon Timur di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Kuala Terengganu, semalam.

Katanya bagi RMK-10 iaitu bagi tempoh 2011 hingga 2015, Mosti menawarkan tujuh dana sains yang menjurus kepada keperluan rantaian R, D&C dengan peruntukan sebanyak RM660 juta antaranya Dana Sains, Dana PraPengkomersilan, Dana Pembangunan dan Penyelidikan Pengkomersilan dan Dana Pemerolehan Teknologi.

"Sehingga 31 Ogos lalu, sebanyak 1,168 projek telah diluluskan di seluruh negara dengan nilai pembiayaan sebanyak RM474.35 juta di bawah RMK-10," katanya.

No comments:

Post a Comment