Seorang bekas pegawai di Jabatan Perhutanan negeri ini yang pernah enam kali ditangkap dan keluar masuk penjara bersabit kes dadah, ditangkap sekali lagi atas kesalahan sama kelmarin.
Suspek yang berusia 35 tahun ditahan sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) ini dan anggota Balai Polis Kuala Berang kira-kira pukul 10.20 malam di tepi jalan Kampung Tanjung Aur, Telemong.
Dia yang sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak kini ditahan mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39B akta yang sama dan jika sabit kesalahan boleh digantung sampai mati.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Ismail Muslim berkata, suspek dilihat menunggang motosikal bersendirian dalam keadaan mencurigakan dan ketika ditahan, dia cuba melarikan diri sebelum berlaku pergelutan.
"Ketika bergelut, suspek membuang kotak rokok jenama Gudang Garam ke tanah dan hasil pemeriksaan lanjut polis merampas tiga botol kecil berisi dadah jenis heroin seberat 9 gram dianggarkan bernilai RM1,500," katanya dalam sidang akhbar kelmarin.
Menurut Ismail, suspek kemudian membawa anggota polis ke rumahnya di Bukit Payong, Marang kira-kira pukul 1.30 pagi semalam dan polis merampas 15 botol berisi dadah heroin seberat 45 gram bernilai RM10,000 dan buku akaun bank dalam rumah itu.
No comments:
Post a Comment