Monday, November 25, 2013

Diabetes - Kes Baharu Melonjak Lebih 100 Peratus di Terengganu

 
Penularan penyakit kencing manis semakin ketara di negeri ini dengan jumlah kes baharu yang didaftarkan atau dikesan melonjak lebih 100 peratus sejak 2008.

Timbalan Pengarah Kesihatan negeri (Kesihatan Awam) Dr. Mohd Jusoh berkata, dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini sahaja, sebanyak 3,603 kes baharu dicatatkan manakala 4,783 kes bagi tahun lalu. 

Beliau berkata, walaupun kes penyakit secara senyap itu meningkat setiap tahun, berdasarkan jumlah mereka yang merujuk kepada pihak hospital itu memperlihatkan kesedaran masyarakat juga meningkat.

"Lebih ramai yang sedia untuk menjalani pemeriksaan dan ujian saringan kesihatan secara berkala bagi mengawal penyakit berkenaan.

''Bagaimanapun Terengganu masih berada ditahap yang rendah iaitu negeri ketiga terendah selepas Putrajaya dan Sabah,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Sambutan Hari Diabetis Sedunia peringkat negeri 2013 di Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu yang dirasmikan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Zuber Embong, di Kuala Terengganu, semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi Diabetis Malaysia Cawangan Terengganu, Wan Md. Adnan Wan Ismail. 

Menurut Mohd, pelbagai usaha dilakukan oleh Jabatan Kesihatan negeri dan Persatuan Diabetis sendiri untuk mencegah dan mengawal penyakit diabetis melalui ceramah, forum dan aktiviti riadah

Katanya, jika diabetis dibiarkan berlarutan tanpa dikesan, penyakit tersebut akan lebih sukar dikawal dan risiko komplikasi diabetis seperti kebutaan, sakit jantung, kegagalan buah pinggang dan mati pucuk adalah tinggi.

'Selain itu faktor keturunan dan pemakanan, gaya hidup yang semakin selesa akibat kemajuan menyebabkan masyarakat masa kini kurang melakukan aktiviti fizikal seperti riadah dan berjalan kaki bagi mengelak diabetes serta masalah obesiti,'' ujarnya

 Sementara itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya mengambil makanan atau minuman yang didakwa mampu merawat diabetes kerana pengambilannya boleh mengancam nyawa pesakit.

Beliau berkata, mereka yang menghidap diabetis kini bukan hanya dalam kalangan yang telah berusia sebaliknya mereka yang di peringkat umur 20 hingga 30 tahun juga meningkat.

No comments:

Post a Comment